Perhilitan nafi terima aduan mengenai kelibat harimau di Bukit Pelindung

13/09/2017 5:27pm


Gambar hiasan


KUANTAN - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang mengesahkan tidak pernah menerima aduan mengenai kehadiran harimau di kawasan rekreasi Bukit Pelindung, berhampiran Teluk Cempedak di sini.

Pengarahnya Ahmad Azhar Mohammed berkata pihaknya tidak pernah melihat atau menjumpai kesan yang boleh membuktikan kehadiran pemangsa itu, termasuk semasa membuat pemerhatian di kawasan sekitar ekoran aduan beruang matahari berkeliaran di pangsapuri berhampiran kawasan itu, tahun ini.

Sehubungan itu, Ahmad Azhar berpendapat dakwaan orang awam melihat kelibat harimau di laluan berbasikal di Teluk Cempedak yang juga laluan kepada mereka yang suka mendaki, yang tular di media sosial semalam, mungkin tidak tepat.

"Barangkali apa yang dilihat adalah kucing hutan atau kucing batu dan mereka yang melihatnya sekali imbas mungkin beranggapan itu adalah harimau kerana coraknya.

Bagaimanapun kita akan tetap menghantar pegawai untuk memeriksa kawasan sekitar untuk mengesahkan perkara ini untuk ketenteraman orang awam," katanya semasa dihubungi Bernama di sini, hari ini. Ahmad Azhar juga menasihatkan mereka yang menjumpai atau mengetahui tentang kehadiran haiwan liar untuk menghubungi pihak Perhilitan supaya tindakan segera dapat dilakukan kerana ia melibatkan aspek keselamatan.

Beliau berharap orang ramai juga tidak mudah mempercayai dakwaan seperti itu dan memeriksanya dengan pihak berkaitan terlebih dahulu sebelum berkongsi kenyataan yang tidak sahih di laman sosial.

"Pernah berlaku dahulu dikatakan wujud harimau di Terengganu yang sebenarnya selepas disiasat adalah gambar yang diambil di tempat lain, namun dikongsi di laman sosial di sini," katanya.

Ahmad Azhar berkata jika terbukti wujud kehadiran haiwan berbahaya di kawasan tumpuan orang ramai, sudah pasti pihaknya akan memaklumkan berita tersebut supaya masyarakat lebih berhati-hati. - Bernama