23 individu beri keterangan kes rusuhan di pejabat akhbar Tamil Malar Daily

13/09/2017 7:16pm


Rakaman kamera litar tertutup yang menunjukkan adengan rusuhan yang berlaku di hadapan pejabat akhbar berbahasa Tamil di Jalan Ipoh pada 6 September lalu yang tular di laman media sosial.


KUALA LUMPUR - Seramai 23 individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung kejadian rusuhan di hadapan bangunan pejabat akhbar Tamil Malar Daily di Jalan Ipoh di sini pada 6 September lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, lebih daripada 80 orang telah berkumpul di hadapan bangunan pejabat tersebut yang berakhir dengan insiden rusuhan.

"Melalui rakaman kamera litar tertutup, lebih kurang 30 individu dilihat bersemuka sebelum berlaku pertengkaran dan adegan tolak menolak.

"Ekoran itu, tujuh laporan polis telah dibuat dan kejadian tersebut kini sedang di dalam siasatan," katanya melalui satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Difahamkan, seramai tiga individu turut membuat laporan polis yang mendakwa dipukul dengan tangan dan mendapat kecederaan ringan.

"Pihak polis menasihatkan mana-mana pihak yang terlibat agar tidak mengambil tindakan yang menyalahi undang-undang dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.

"Tindakan tegas akan diambil kepada sesiapa juga yang cuba mengganggu gugat ketenteraman awam dan ingin mencetuskan kekacauan," tambah beliau.

Menurut Amar Singh, siasatan sedang dilakukan dan kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. - K! ONLINE