Cecair asid tumpah dalam kargo pesawat MAS

13/09/2017 11:04pm


Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dan bomba melakukan usaha membersihkan cecair asid yang tumpah dalam ruang kargo pesawat MAS hari ini.


KOTA KINABALU - Pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAS) berdepan detik cemas apabila berlakunya tumpahan cecair jenis asid UN2794 di dalam ruang kargo ketika melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.10 petang itu, dimaklumkan pesawat boeing 737-838 tersebut baru sahaja tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1, Kuala Lumpur.

Penolong Kanan Penguasa Bomba, Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu,  Agustavia Joe Guasi berkata, seramai 10 anggota Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dikejarkan ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.15 petang.

"Kesemua penumpang di dalam pesawat itu segera diarahkan turun sebelum Hazmat bertindak melakukan operasi pembersihan cecair itu.

"Hasil pemeriksaan mendapati cecair berkenaan adalah jenis asid UN2794 yang tertumpah di ruang kargo pesawat ketika ia melakukan pendaratan," katanya sebentar tadi.

Tambah beliau, sebelum melakukan operasi pembersihan, Hazmat terlebih dahulu melakukan pemeriksaan dan menguji tahap keasidan.

"Kerja-kerja pembersihan dilakukan menggunakan serbuk sulfur," jelasnya.

Operasi tamat kira-kira pukul 8.08 malam dan kesemua penumpang dilaporkan selamat.

Punca kemalangan masih dalam siasatan. - K! ONLINE