Kreativiti pemangkin kualiti tenaga kerja


PROGRAM e-usahawan dan perniagaan yang berteraskan platform digital semakin menjadi pilihan pengguna. – Gambar hiasan


APABILA kita melihat perkembangan dan persiapan masyarakat dalam menghadapi gelombang Industri 4.0, kita perlu meneliti satu faktor penting bagi memastikan setiap individu dalam masyarakat dapat berkembang seiring dengan situasi itu.

Apa yang perlu kita ketahui ialah gelombang Industri 4.0 ini diterajui oleh satu konsep ekonomi yang bersifat ‘Konsep Ekonomi Kreatif’ iaitu teraju utamanya adalah maklumat dan kreativiti seseorang individu.

Dalam erti kata lain, idea dan ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh para pemain industri seperti tenaga kerja atau sumber manusia merupakan faktor utama untuk membolehkan mereka kekal berdaya saing, sekali gus memperoleh pendapatan yang tinggi dalam kegiatan ekonomi seharian.

Jika diteliti perkembangan itu, gelombang industri ini adalah kesan daripada penstrukturan semula dunia yang dipacu oleh gelombang transformasi teknologi seiring dengan pertumbuhan ekonomi.

Pelbagai usaha dilakukan oleh pihak kerajaan untuk menyediakan satu kumpulan tenaga kerja yang kompeten dan mengikut zaman seiring dengan perkembangan itu.

Contohnya, kita dapat melihat sejak dua atau tiga tahun kebelakangan ini, sistem pendidikan negara telah dirombak dengan memberi penekanan kepada pendidikan yang bersifat kemahiran atau Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Malah, kira-kira lima tahun lalu, kerajaan mula memberi dan melaksanakan skim untuk meningkatkan tenaga kerja yang profesional, contohnya melalui program memprofesionalkan bumiputera melalui Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera.

Ia bertujuan untuk mewujudkan tenaga buruh yang lebih profesional dan boleh berdaya saing dalam penstrukturan semula ekonomi dunia ini.

Usaha-usaha ini dilihat akan mengalihkan kebergantungan ekonomi negara yang pada asalnya bergantung kepada sumber alam semula jadi.

Tenaga kreatif

Kemudiannya, ia berubah kepada golongan tenaga kerja atau buruh mahir dan seterusnya ke era tenaga kerja berkemahiran tinggi serta kreatif.

Umumnya, dalam mendepani gelombang Industri 4.0, faktor pengeluaran yang berasaskan tenaga kerja kreatif perlu di pandang penting sebagai satu daya saing baharu dalam kegiatan ekonomi.


SISTEM pendidikan negara telah dirombak dengan memberi penekanan kepada pendidikan yang bersifat kemahiran atau TVET sejak beberapa tahun lalu. – Gambar hiasan


Input dan output merupakan satu keperluan atau dalam bahasa mudahnya, ilmu serta kemahiran daripada kreativiti perlu dijadikan teras persaingan dalam meningkatkan produktiviti.

Dalam memacu konsep keusahawanan pula, pihak kerajaan dilihat berusaha untuk mempromosikan program e-usahawan dan jenis-jenis perniagaan yang berteraskan platform digital yang menjadi pemangkin untuk memasarkan daya usaha atau hasil kreatif tadi.

Walaupun terdapat unsur-unsur halangan dalam usaha itu, kesannya dilihat semakin hari semakin bertambah positif dan kumpulan masyarakat yang terlibat dalam perniagaan berasaskan platform digital terus berkembang.

Bagi menyokong usaha itu, terdapat juga usaha untuk menambah nilai atau meningkatkan kefahaman pemikiran masyarakat dalam pelaksanaan tenaga kerja kreatif, mempunyai idea segar dan daya usaha yang tinggi ke arah menggerakkan konsep inovasi.

Atas usaha itu, para tenaga kerja dalam Industri 4.0 perlu dilengkapkan dengan kemahiran berfikir yang terbuka dan meningkatkan daya inspirasi dalam diri agar mereka dapat menghasilkan produktiviti yang luar biasa dan berbeza daripada sebelumnya.

Kreativiti dalam Industri 4.0 akan mempengaruhi cara atau proses sesuatu pekerjaan itu dilaksanakan untuk mengeluarkan sesuatu produk atau perkhidmatan itu boleh ditawarkan.

Faktor kreativiti ini akan menjana idea baharu ataupun menggabungkan beberapa idea lama untuk menghasilkan suatu idea yang lebih produktif.

Sebagai kesimpulannya, konsep kreativiti dalam kalangan tenaga kerja era Industri 4.0 memerlukan lonjakan pemikiran agar kita lebih bersedia menghadapi perubahan satu struktur ekonomi baharu yang berteraskan maklumat dan kreativiti manusia.

Pada era ini, struktur ekonomi yang berteraskan maklumat dan kreativiti akan menghasilkan idea serta inovasi yang kompeten dalam faktor-faktor pengeluaran seterusnya menjadi daya saing utama untuk aktiviti perniagaan.

Sebagai seorang individu yang terlibat dalam penyediaan tenaga kerja pula, kita haruslah bersedia untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran yang ada pada diri kita dari semasa ke semasa.

Ini kerana kreativiti dalam Industri 4.0 merangkumi pemanfaatan kreativiti, ketrampilan serta bakat individu untuk mencapai tingkat produktiviti dan kesejahteraan dalam lapangan pekerjaan dengan menghasilkan serta mengeksploitasi daya kreativiti serta daya cipta individu tersebut.