Kendali kes kecemasan di atas gunung



“SUATU pengalaman yang tidak boleh dijual beli.”

Itu antara perkataan yang terpacul daripada mulut Nora [email protected], 35, selepas berjaya menawan puncak Gunung Yong Belar di Lojing, Gua Musang, Kelantan baru-baru ini.

Pembantu Operasi Klinik Kesihatan Bandar IOI, Segamat, Johor itu berkata, kejayaan tersebut cukup bermakna buat dirinya.

“Saya mempunyai sejarah kesihatan yang tidak baik. Saya pernah mengalami masalah saraf belakang dan jangkitan kuman pada jantung.

“Saya jadikan aktiviti mendaki gunung ini sebagai platform untuk mencabar diri dan saya berjaya melakukannya tanpa sebarang masalah,” kata ibu kepada dua orang cahaya mata itu.

Nora merupakan salah seorang daripada 16 peserta yang mengikuti Ekspedisi Enam Gunung 2017 anjuran Hospital Segamat dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Segamat dan Kelab Doktor Hospital Segamat, Johor sempena Hari Jantung Sedunia 2017 dan Hari Sukan Negara 2017 baru-baru ini.

Para peserta terdiri daripada pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat dan kakitangan lain-lain jawatan dari Hospital Segamat serta Pejabat Kesihatan Daerah Segamat.

Orang Bukit Malaysia (Orkita) pula dipilih sebagai agensi khas untuk menjayakan ekspedisi itu.

Mencabar

Selain Gunung Yong Belar, peserta turut menawan puncak Gunung Irau, Gunung Jasar, Gunung Berembun, Gunung Cecil dan Gunung Penelope di Cameron Highland, Pahang.

Nora memberitahu, ini bukan kali pertama dia mendaki gunung kerana sebelum ini pernah menawan Gunung Ledang di Johor dan Gunung Datuk di Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, pendakian ke puncak Gunung Yong Belar sangat mencabar kerana ia memerlukan kekuatan mental dan fizikal.

“Sebaik nama saya disenaraikan dalam ekspedisi ini, saya membuat persiapan yang rapi seperti berjoging, senamrobik dan mengikuti latihan mendaki Gunung Datuk.

“Oleh kerana sudah lama tidak melakukan aktiviti mendaki gunung, saya perlu bersedia agar tidak menyusahkan diri sendiri dan rakan-rakan.


Peserta ekspedisi, iringan dan kru merakamkan gambar kenangan di puncak Gunung Yong Belar di Lojing, Gua Musang, Kelantan baru-baru ini.


“Namun, saya tidak menjangka akan berdepan cuaca yang sangat sejuk dan meredah hujan pada waktu malam dalam perjalanan turun dari Kem Tudung Periuk ke Pintu Rimba.

“Keadaan itu benar-benar menguji kekuatan mental dan fizikal saya,” kata anak kelahiran Segamat itu.

Sementara itu, Penaung Orkita, Syah Rizan Saidan, 36, berkata, rahsia di sebalik kejayaan peserta adalah latihan dan disiplin.

“Peserta menjalani latihan selama dua bulan untuk membentuk fizikal dan mental yang mantap. Mereka dibawa mendaki Gunung Ledang dan Gunung Datuk.

“Kejayaan ini tidak akan dicapai jika tiada kerjasama antara peserta. Mereka juga memberikan komitmen yang baik dan sentiasa mengikut arahan bagi memastikan setiap pendakian berjalan lancar.

“Kru yang dibawa sangat komited dalam tugas masing-masing bagi memastikan peserta selamat dan pendakian mengikut jadual,” katanya.

Syah Rizan memberitahu, selain 16 orang peserta tetap, dia turut membawa beberapa peserta iringan untuk menjayakan ekspedisi itu.

Ekspedisi enam gunung ini bermula di Gunung Irau pada 28 Julai lalu sebelum diteruskan ke Gunung Jasar dan Gunung Berembun sehari kemudian.

Sehari selepas itu, peserta mendaki dua lagi puncak gunung iaitu Gunung Cecil dan Gunung Penelope sebelum melengkapkan misi di Gunung Yong Belar pada 25 dan 26 Ogos lalu.

Seorang lagi peserta, Mohd. Syafiqq Al Hakim Haniff, 27, berkata, ekspedisi itu mengajar mereka mengendalikan kes-kes kecemasan dalam persekitaran kondusif dan tanpa peralatan yang lengkap.

“Misalnya ketika mendaki Gunung Yong Belar, beberapa orang peserta mengalami simptom-simptom hipotermia iaitu pendedahan yang teruk terhadap cuaca sejuk.

“Kami menggunakan segala pengalaman dan peralatan yang dibawa untuk membantu mangsa. Alhamdulillah, mereka dapat meneruskan pendakian dan turun dengan selamat.

“Pengalaman ini tidak akan diperoleh semasa bekerja di hospital,” kata Pegawai Perubatan Ortopedik Hospital Segamat yang berasal dari Gombak, Selangor itu.

Mohd. Syafiqq menambah, ekspedisi itu merupakan satu detik manis yang tidak akan dilupakan.


SUASANA yang nyaman dan mendamaikan di kawasan Air Terjun Pelaur.


Ini kerana, ia berjaya menyatukan peserta yang terdiri daripada latar belakang berbeza untuk mengharumkan nama Hospital Segamat.

Objektif

“Kami juga mengamalkan konsep no man left behind. Walaupun tahap kecergasan kami berbeza, tiada seorang pun ahli pasukan yang gagal mencapai objektif,” katanya.

Dalam pada itu, seorang peserta iringan, Nuradlina Sulaiman, 43, berkata, dia berasa gembira apabila menjadi sebahagian daripada pendaki yang menjayakan ekspedisi tersebut.

“Saya mendaki dua daripada enam gunung dalam ekspedisi ini iaitu di Gunung Irau dan Gunung Yong Belar.

“Sepanjang dua pendakian ini, saya dapat melihat kerjasama yang baik antara peserta ekspedisi, kru dan peserta iringan.

“Kru yang dipilih juga cukup berpengalaman, terutamanya dalam pemilihan lokasi tapak perkhemahan, penyediaan makanan dan keselamatan peserta,” katanya yang merupakan seorang pekerja sebuah syarikat swasta di Cyberjaya, Selangor.

Nuradlina menambah, pendakian ke Gunung Yong Belar cukup menarik kerana dia berpeluang menyaksikan keindahan air terjun di Kem Pelaur.

Selain itu, dia turut disajikan dengan pemandangan indah di puncak gunung yang tidak dapat disaksikannya pada kunjungan pertama sebelum ini.