Ranking dunia tak jadi penghalang


FIE CHO dan Jing Yi melakar kejutan apabila menewaskan pasangan dari India yang menghuni ranking ke-24 dunia pada pusingan pertama kejohanan badminton Siri Super Terbuka Korea di Seoul semalam.


BEREGU wanita negara, Tee Jing Yi-Soong Fie Cho melakar kejutan pada kejohanan badminton Siri Super Terbuka Korea apabila menang 19-21, 21-13, 21-17 ke atas pasangan India, Ashwini Ponnappa-N. Sikki Reddy dalam pusingan pertama semalam.

Meskipun turun dengan status sebagai gandingan No. 138 dunia, namun ia tidak menghalang Jing Yi-Fie Cho daripada menampilkan aksi meyakinkan bagi menyingkirkan pasangan yang berada di ranking ke-24 dunia itu.

Jing Yi ternyata gembira dengan kemenangan tersebut dan menganggap percaturan yang dilakukan bersama Fie Cho memberi kelebihan kepada mereka biarpun tidak diletakkan sebarang harapan sebelum perlawanan bermula.

“Tidak dinafikan kami sangat gembira dengan kemenangan hari ini (semalam). Saya fikir mungkin pemain lawan belum tahu corak permainan kami, jadi saya dan Fie Cho gunakan peluang tersebut sebaik mungkin.

“Walaupun tidak jangka untuk menang tetapi saya sentiasa positif bahawa peluang tetap ada dan kami berjaya lakukannya. Hari ini (semalam) Soong (Fie Cho) banyak bermain di hadapan dan berjaya lakukan tugasnya dengan baik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Justeru, pemain berusia 26 tahun itu mengakui kemenangan semalam mampu menjadi pembakar semangat untuk mereka membuat perhitungan dengan beregu China, Huang Yaqiong-Yu Xiaohan pada pusingan ke­dua hari ini.

Sebelum ini, Jing Yi yang merupakan bekas pemain perseorangan wanita No. 1 negara mengakui saingan Siri Super cukup berbeza dengan kejohanan-kejohanan lain biarpun mereka memegang status sebagai juara Siri Antarabangsa (IS) Terbuka Indonesia dan IS Terbuka Malaysia.

“Apa yang pasti, kemenangan ini memberi lebih keyakinan kepada kami apabila turun ke gelanggang bertemu pasangan China esok (hari ini). Kami perlu bersiap sedia kerana ia akan menjadi satu perlawanan sukar.

“Kami tidak pernah bertemu mereka sebelum ini, jadi kami akan berbincang dan membuat analisis mengenai corak permainan mereka. Kami tidak akan gunakan taktik yang digunakan pada hari ini (semalam) kerana setiap lawan menggunakan pendekatan berbeza,” ujar Jing Yi.

Keputusan Jing Yi beralih angin ke acara beregu wanita dilihat menghasilkan keputusan positif apabila memiliki dua gelaran ketika ini selepas pemain kelahiran Pulau Pinang itu kecewa dengan prestasinya dalam perseorangan wanita.