Permohonan faraq Joy Revfa dan Hafiz Hamidun ditangguhkan

14/09/2017 3:32pm


Hafiz (kiri) yang memakai kemeja berwarna biru sedang berkata sesuatu kepada peguamnya di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam hari ini.


SHAH ALAM - Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini menangguhkan prosiding permohonan faraq nikah (perpisahan sementara) usahawan kosmetik, Siti Arifah Mohd. Amin atau dikenali Joy Revfa dengan pasangannya, Hafiz Hamidun kepada 9 November ini.

Hakim Syarie, Muhamad Hisyam Zakaria memutuskan demikian selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk menunggu keputusan pengesahan pernikahan Joy Revfa, 30, dengan suami terdahulu, Datuk Mohd. Rayus Abdul Rahim, 46, atau dikenali Datuk Ray Imran di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Terdahulu, peguam syarie, Aznor Suhaida Dolah yang mewakili Joy Revfa mengesahkan anak guamnya mempunyai kes lain yang berkepentingan dengan permohonan itu.

"Kes (pengesahan pernikahan) anak guam dengan suami terdahulu akan dibicarakan pada 19 September ini," katanya.

Hafiz, 33, yang hadir memakai kemeja berwarna biru diwakili peguam Azmi Mohd. Rais dan Syamimi A. B. Rahman. - K! ONLINE