Bapa bersyukur anak selamat walaupun melecur 20 peratus

14/09/2017 12:46pm


Muhammad Shahir dalam bulatan bersama-sama pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.


KUALA LUMPUR -Salah seorang pelajar tahfiz dalam kejadian kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, di sini berjaya menyelamatkan diri dengan bertindak memecah jeriji tingkap untuk turun melalui saluran paip air.

Menurut bapa mangsa Sharifuddin Musa, 45, anaknya Muhammad Shahir berusia 11 tahun mengalami kecederaan melecur 20 peratus pada bahagian belakang badan selepas berjaya turun dari tingkat tiga pusat tahfiz itu.

"Saya bersyukur dia (Muhammad Shahir) selamat dan kini kami sekeluarga menunggu laporan penuh mengenai kecederaan yang dialami," katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan Hospital Kuala Lumpur sebentar tadi.

Sharifuddin berkata, dia menerima maklumat mengenai kejadian menimpa anaknya melalui panggilan telefon daripada salah seorang pekerja tahfiz di sekolah tersebut.

Kosmo! difahamkan terdapat kira-kira 50 pelajar menuntut di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung. - K! ONLINE