Empat direman termasuk individu bergelar Datuk seleweng dana kerajaan RM40 juta

14/09/2017 12:59pm


Empat individu tersebut direman enam hari bermula hari ini.


KUALA LUMPUR - Empat individu termasuk Ketua Eksekutif bergelar Datuk direman enam hari bagi membantu siasatan kes menyeleweng dana kerajaan bernilai hampir RM40 juta yang sepatutnya disalurkan kepada sebuah perbadanan kemahiran bagi tujuan program latihan.

Tempoh reman terhadap kesemua suspek yang dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman bermula hari ini hingga 19 September depan untuk menjalankan siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Terdahulu, Ketua Eksekutif berusia 58 tahun itu dan tiga suspek lain tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 10.35 pagi dengan berpakaian baju lokap SPRM dan tangan bergari.

Tiga lagi yang direman ialah setiausaha perbadanan berusia 34, penolong pegawai kewangan, 32, dan seorang pengarah sebuah syarikat bergelar doktor, 38.

Kesemua mereka ditahan di beberapa lokasi di ibu negara antara pukul 4.30 petang dan 6 petang dalam satu operasi khas yang dilancarkan SPRM semalam. - K! ONLINE