Rasuah: Tiga anggota polis direman 7 hari

14/09/2017 1:11pm




KUANTAN - Tiga anggota polis berpangkat Lans Koperal dan Konstabel direman seminggu di Mahkamah Majistret Kuantan, di sini, hari ini.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman selepas dimohon Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Reni Fezri Mohamad.

Semua anggota polis berusia lingkungan 30-an itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini, semalam.

Mereka didakwa menerima suapan berjumlah RM3,000 untuk tidak mengambil tindakan terhadap suspek yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Perintah tahanan reman itu adalah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(a)(b) Akta SPRM 2009. - K! ONLINE