Restoran jijik ditutup serta-merta

14/09/2017 11:15pm


Gambar hiasan.


PUTRAJAYA - Menjijikan. Itulah keadaan ruang tempat memasak sebuah restoran 24 jam yang beroperasi di Presint 9 di sini yang bercampur dengan najis tikus serta ruang penyajian yang tidak bersih.

Perkara tersebut terbongkar hasil pemeriksaan pegawai penguatkuasaan Perbadanan Putrajaya (PPj) yang melakukan pemeriksaan mengejut di lima buah restoran di kawasan berkenaan dan Presint 11 di sini hari ini.

Tinjauan Kosmo! mendapati, pihak restoran menjadikan ruang bilik yang turut berfungsi sebagai tempat penginapan pekerja sebagai ruang memasak dan kelihatan najis tikus serta bungkusan tepung yang telah terkoyak dipercayai akibat gigitan tikus memenuhi kawasan tersebut.

Jika dilihat dari luar premis restoran tersebut kelihatan bersih namun ruang tempat memasak yang menjijikkan itu boleh membuat pelanggan putus selera.

Presiden PPj, Datuk Seri Hasim Ismail berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk menutup mana-mana premis dan gerai makanan yang gagal mematuhi peraturan termasuk dalam soal kebersihan.

"Mislanya restoran ini, kami telah mengeluarkan notis penutupan serta-merta selama tempoh 14 hari bermula hari ini kerana mereka didapati melanggar Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (Wilayah Persekutuan Putrajaya) 2012 dan Akta Makanan 1983 sewaktu pemeriksaan.

"Kita tidak akan berkompromi dalam soal kebersihan makanan termasuk dari segi penyediaan makanan di dapur dan tahap kebersihan pekerja juga di bawah tanggungjawab pemilik premis," katanya pada sidang akhbar selepas tamat operasi petang tadi.

Menurut Hasim, masyarakat sebagai pengguna mempunyai pilihan untuk makan di restoran yang bersih dan halal memandangkan pihak PPj telah melakukan penggredan pada tahap A, B, C.

"Restoran yang mempunyai gred A adalah yang terbaik dengan markah 86 hingga 100, diikuti gred B (70 hingga 85 markah) seterusnya gred C di bawah 70 markah adalah yang paling teruk di mana pihak perbadanan boleh mengambil tindakan menutup premis sehinggalah restoran terlibat dibersihkan mengikut peraturan ditetapkan.

"Sehingga Ogos 2017, terdapat 345 buah premis restoran di Putrajaya dan daripada jumlah itu 178 buah mempunyai gred A manakala 88 buah lagi memperoleh gred B," katanya. - K! ONLINE