Hari Buluh Sedunia sasar 15,000 pengunjung


Keunikan kasut dan stoking yang berasaskan buluh.


SEJAK sekian lama, buluh telah digunakan secara meluas oleh masyarakat di Asia terutamanya China, Jepun, Korea Selatan, Indonesia dan India.

Tumbuhan itu dipercayai bermula sejak zaman Dinasti Shang iaitu kira-kira 7,000 tahun lalu dalam pelbagai aspek kehidupan seperti makanan, pakaian, perumahan, alat muzik dan senjata.

Penggunaan buluh juga mempunyai sejarah yang panjang di Malaysia terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu.

Bukti-bukti penggunaannya masih lagi wujud sehingga kini seperti senjata, rumah, rakit serta makanan seperti lemang dan rebung.

Buluh atau dikenali sebagai aur merupakan suku bagi tumbuhan saka berbunga daripada keluarga Graminae. Ia biasanya tumbuh meliar di tebing sungai, lereng bukit dan kawasan belukar di Malaysia.

Antara spesies buluh yang terdapat di negara ini ialah buluh duri, kuning, semantan, minyak, betong, tali, tumpat, hitam dan batu.


SALAH sebuah syarikat mempamerkan basikal buluh.


Menyedari potensi besar yang ada pada buluh, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) terpanggil untuk menganjurkan sambutan Hari Buluh Sedunia (WBD) 2017.

Sambutan yang memasuki kali keenam itu bakal diadakan di Tingkat Bawah, IOI City Mall, Putrajaya pada 15 hingga 17 September ini.

Ketua Pengarah MTIB, Datuk Dr. Jalaluddin Harun memaklumkan, WBD adalah sebahagian daripada program sambutan yang diadakan di seluruh dunia.

Katanya, sambutan itu diadakan pada 18 September setiap tahun di 26 buah negara yang bernaung di bawah Organisasi Buluh Dunia (WBO).

“Malaysia merupakan salah sebuah negara dalam WBO. Ini kerana negara mempunyai potensi besar dalam penghasilan produk buluh. Namun, jumlah eksport produk buluh negara hanya bernilai RM350,000 setahun.

“Angka ini masih jauh ketinggalan berbanding negara pengeluar utama produk buluh seperti China, Taiwan dan Indonesia,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! di pejabatnya di Bangunan PGRM, Pudu Ulu, Kuala Lumpur.

Tingkat kesedaran

Menurut Jalaluddin, menerusi sambutan WBD, pihaknya berharap dapat meningkatkan kesedaran penggunaan buluh dalam masyarakat selain melindungi sumber semula jadi dan alam sekitar.


Para pengunjung berpeluang melihat pelbagai produk berasaskan buluh.


Beliau memberitahu, sambutan itu juga bertujuan memastikan buluh digunakan secara mampan dan menggalakkan sektor perladangan tumbuhan tersebut di negara ini.

“Pada sambutan kali ini, kami akan menghimpunkan 13 buah syarikat tempatan dan agensi kerajaan yang berkaitan buluh.

“Syarikat dan agensi ini akan mempamerkan barangan berasaskan buluh seperti perabot, kraf tangan, fabrik, produk kecantikan dan aksesori wanita,” katanya.

Sambutan WBD turut dimeriahkan dengan program sampingan seperti seminar, pertandingan mewarna, pertunjukan fesyen buluh, kuiz, mencanting batik dan persembahan angklung.

Jalaluddin menambah, pada sambutan kali ini, pihaknya menyasar seramai 15,000 orang pengunjung untuk melawat WBD.

Jelasnya, golongan pengunjung yang menjadi sasaran MTIB ialah para penggiat industri buluh, pelajar institut pengajian tinggi (IPT), golongan mahir dan masyarakat atau pengguna.

“Sasaran utama kami sudah pastilah masyarakat. Kami ingin mengubah persepsi mereka terhadap penggunaan buluh dalam kehidupan harian.

“Buluh tidak lagi digunakan dalam penghasilan barangan tradisional tetapi ia turut dijadikan bahan dalam penghasilan produk moden yang bernilai tinggi,” jelasnya.