KM Arau aset terbaharu APMM

Kru dan anak kapal KM Arau.


DETIK bersejarah sekali lagi terlakar dalam catatan diari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) apabila menerima sebuah kapal ronda luar pesisir (OPV) daripada kerajaan Jepun.

Dihadiahkan bersempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kerajaan Malaysia dengan negara Matahari terbit itu, KM Arau menjadi OPV kedua dalam inventori agensi tersebut selepas Kapal KM Pekan.

Peluang penulis mengikuti pelayaran KM Arau dari Pusat Hidrografi Nasional, Pelabuhan Klang, Selangor ke Kota Kinabalu, Sabah pada 19 hingga 25 Julai lalu bersama-sama Kapten Maritim Saiful Lizan Ibrahim berserta 25 orang pegawai dan anggota pertama KM Arau menjadi suatu momen yang sangat berharga.

Tidak sukar untuk meneka nama kapal ini diambil bersempena Bandar DiRaja Negeri Perlis iaitu Arau. Terdahulu, ia diberi nama JCG PL02 Oki semasa berkhidmat dengan Pengawal Pantai Jepun selama 28 tahun.

Sebelum KM Arau diserahkan kepada APMM, kapal tersebut turut menerima geran sebanyak RM28 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Jepun bagi tujuan ubah suai dalaman sesuai untuk pengoperasian di perairan Malaysia.

Penamaan semula kapal ini turut mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail yang merasmikan kapal itu pada 15 Julai lalu di Pusat Hidrografi Nasional pada acara tradisi penamaan kapal.

Menurut Saiful Lizan, operasi pelayaran pulang ini turut menguji keseluruhan kemampuan kapal ini sepenuhnya sebelum menjalankan operasi penguatkuasaan undang-undang sebenar kelak.

Katanya, berbanding dengan aset-aset APMM lain, KM Arau mampu beroperasi selama 21 hari tanpa perlu mendapat bekalan ketika menjalankan operasi di laut.

Ia digerakkan dengan enjin berkuasa turbo diesel dan mampu untuk menujah kuasa sehingga 19 knot ketika belayar.

“Kapal ini boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh APMM sebagai sebuah kapal untuk latihan selain menjalankan tugas-tugas maritim berdasarkan kepada saiznya yang besar iaitu 87 meter (m) panjang dan 10.5m lebar.

“KM Arau ini juga boleh memberi persediaan dan pendedahan kepada anak-anak kapal mengenai kapal jenis OPV memandangkan APMM akan menerima tiga lagi kapal jenis ini secara berperingkat pada masa akan datang,” katanya baru-baru ini.

Kelengkapan

Kapal seberat 993 tan itu menyediakan kelengkapan dan kemudahan yang secukupnya ketika beroperasi bagi menampung keperluan kesemua 54 anak kapal dan kru KM Arau.

“Bagi tujuan operasi di laut, KM Arau dilengkapkan dengan sistem komunikasi frekuensi ultratinggi (UHF) dan frekuensi amat tinggi (VHF), Sistem Paparan Carta Elektronik dan Maklumat (ECDIS) dan sistem pencari serta dilengkapkan dengan teknologi radar.

“Kapal ini antara lain berkemampuan untuk dijadikan platfrom bagi kapal carilamat dengan kemudahan untuk tujuan berkenaan dimiliki KM Arau menerusi dua buah bot carilamat selain dek pendaratan helikopter,” tambahnya.

Antara kelebihan KM Arau itu termasuk kemudahan khusus untuk pegawai dan kru wanita yang diasingkan daripada pegawai lelaki, antaranya bilik tidur, ruang cucian, tandas dan bilik mandi.

KM Arau juga dilengkapi tiga unit penggeledahan dengan kekuatan satu pegawai geledah dan lima anggota geledah setiap unit.

Berkongsi perancangan KM Arau pada masa hadapan, Saiful Lizan berkata, kapal itu boleh dijadikan sebagai kapal induk dengan kemudahan-kemudahan logistik termasuklah fasiliti bagi kemampuan isian semula minyak, bekalan makanan serta perubatan semasa beroperasi tanpa perlu pulang ke pangkalan bagi tujuan tersebut.

“Cadangan menempatkan pesawat tanpa pemandu (UAV) turut disuarakan untuk tujuan pengawasan udara dengan lebih berkesan. KM Arau turut berkemampuan untuk menempatkan senjata jenis meriam 30 milimeter dan mesingan untuk menghadapi ancaman-ancaman jenayah maritim yang sukar dijangka,” tambah Saiful Lizan.

Untuk rekod, APMM pernah mencatatkan kejayaan sifar jenayah dari tahun 2011 hingga 2015 dan mengekang kerugian bernilai jutaan ringgit akibat aktiviti jenayah di laut.