Putih, labuci beri kedamaian

LALUAN dari pintu utama yang membawa ke ruang tamu turut diberi sentuhan Inggeris moden.


PERKONGSIAN gambar-gambar dekorasi kediaman milik Noor Asiah Mahamed, 48, di laman sosial Instagram menarik perhatian kru Jurnal untuk meninjau secara lebih dekat rumahnya yang terletak di Shah Alam, Selangor itu.

Hasrat penulis disambut baik sementelah ia bukan kali pertama suri rumah sepenuh masa itu menerima kunjungan daripada pihak media.

“Sebelum ini, dekorasi rumah saya yang bertemakan English country pernah direncanakan di beberapa buah majalah hiasan dalaman tempatan.

“Bagaimanapun konsep terbaharu yang saya tampilkan kali ini belum pernah keluar di mana-mana penerbitan lagi,” selorohnya mesra.

Sudah didiami sejak Julai 2007, Noor Asiah begitu senang dengan konsep Inggeris kerana menggemari warna putih dan tema bunga-bungaan yang begitu sinonim dengan dekorasi tersebut.

Bagaimanapun, dia mengakui mahu menyuntik pembaharuan agar ruang kediaman yang diduduki selama lebih 10 tahun itu tidak kelihatan membosankan.

Masih mengekalkan konsep Inggeris dengan rona warna putih, wanita yang berasal dari Jerantut, Pahang itu menggarap tema moden agar ruang kediaman lebih segar dan mengikut trend rekaan semasa.

Dia turut menggantikan motif flora ros Inggeris dengan memasukkan elemen labuci dalam kebanyakan barang perhiasan di rumahnya.

Di ruang tamu misalnya, Noor Asiah mengenakan sarung kusyen fabrik labuci dalam kemasan warna perak untuk disepadankan dengan sofa satu dan tiga tempat duduk berwarna putih polos.

“Sebenarnya saya beli fabrik labuci dan jahit sendiri sarung kusyen tersebut. Lebihan kain tadi tidak dibuang sebaliknya ditambah sebagai perincian pada langsir dan selendang meja untuk memberi kesamaan kepada konsep berkenaan,” katanya yang memperoleh cetusan idea menerusi laman sosial.


RUANG dapur tidak dilupakan dan dihias kemas supaya membangkitkan mood tenang.


Lukis corak

Bagi terus menyuntik kesenadaan, Noor Asiah menggunakan perhiasan berwarna perak seperti kaki lilin dan pasu bunga beraneka saiz dan bentuk.

Perhiasan lain seperti cermin turut dicat bingkainya kepada rona perak bagi menyerlahkan dekorasi yang dicipta.

Bercerita lanjut tentang pembaharuan dekorasi yang dibuat, Noor Asiah berkata, dia turut mengecat meja televisyen dan almari perhiasan yang sebelum ini berwarna coklat kepada warna putih.

“Saya tidak mengeluarkan modal membeli perabot baharu, sebaliknya lebih selesa memberi wajah baharu kepada perabot sedia ada.

“Kerja mengecat juga dilakukan sendiri kerana saya berpendapat, ia akan memberi lebih kepuasan jika dapat dibuat mengikut kehendak,” ujarnya.

Dekorasi ruang makan turut diberi sentuhan baharu apabila wanita itu mengecat kerusi dan meja makan kepada rona putih bagi memberi kesinambungan.

Jambangan bunga mawar dan orkid putih yang dijadikan perhiasan tengah meja juga melengkapkan suasana.

Bahagian dinding yang dilatari kertas dinding berwarna coklat dihias dengan cermin bersaiz besar yang secara tidak langsung memberi ilusi lebih lapang kepada apartmen bersaiz 78.9 meter persegi itu.

Turut menarik perhatian kru Jurnal adalah deretan pinggan yang digantung di sebelah atas dinding sebagai perhiasan.

“Pinggan ini sebenarnya kosong tetapi saya lukis sendiri corak daun dan tumbuhan kaktus mengikut kreativiti untuk memberi kelainan,” ujarnya.


WARNA putih yang digabungkan dengan rona perak dan kelabu memberi kedamaian kepada kediaman.


Koleksi pinggan

Ditanya tentang koleksi kesayangan di kediamannya, ibu kepada lima orang itu memberitahu, dia menyifatkan koleksi cawan, teko dan pinggan mangkuk bermotif ros Inggeris yang dikumpul sejak tahun 2010 memiliki nilai sentimental tersendiri.

“Saya juga amat menggemari koleksi pinggan mangkuk jenama Portmeirion dalam rekaan Botanic Gardens yang ditempah secara online dari United Kingdom,” katanya.

Dari segi pencahayaan, kediaman yang memiliki tiga buah bilik itu disimbahi cahaya jingga daripada lampu candelier yang terdapat pada ruang tamu dan ruang makan.

Menjenguk pada bahagian luar rumah, kawasan terhad itu ternyata tidak dilupakan dan dihias dengan tumbuh-tumbuhan seperti pokok bunga kertas serta deduit yang berjaya menyuntik aura segar.

“Saya sukakan kehijauan dan sebab itulah saya turut meletakkan tumbuhan hijau plastik pada setiap sudut di dalam rumah. Ia tidak sukar untuk dibersihkan, cantik dipandang dan memberi kesegaran kepada mata,” ujarnya.

Noor Asiah memberitahu, buat masa ini, dia tidak berhasrat untuk menukar konsep dekorasi kerana kekangan masa dan keadaan ruang kediaman yang agak terhad.

“Jika saya mahu tukar konsep dekorasi sekalipun, ia akan dibuat dengan menukar fabrik seperti langsir, cadar dan sarung kusyen sebab ia lebih mudah, menjimatkan kos selain senang dipadankan dengan perabot,” tuturnya.