Etnik Rohingya hilang tanah air


REUTERS - PELARIAN Rohingya menunggu bantuan di kem pelarian di Cox’s Bazar, Bangladesh semalam.


COX’S BAZAR, Bangladesh – Kira-kira 600,000 kanak-kanak Rohingya dijangka melarikan diri ke Bangladesh menjelang penghujung tahun ini, kata sebuah pertubuhan bantuan semalam.

Lebih 400,000 penduduk Islam Rohingya kini berlin­dung di Bangladesh selepas melarikan diri daripada ke­ganasan di Myanmar yang disifatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)­ sebagai penghapusan etnik.

PBB berkata, lebih separuh daripada angka itu ialah kanak-kanak termasuk 1,100 anak-anak Rohingya yang tiba bersendirian di Bangladesh selepas meredah laluan berlumpur dan bukit-bukau selama beberapa hari.

“Angka ini boleh meningkat melepasi satu juta orang termasuk kira-kira 600,000 kanak-kanak menjelang peng­hujung 2017 sekiranya kebanjiran pelarian Rohingya berterusan,” kata ketua ­pertubuhan amal Save the Children, Mark Pierce.

PBB juga bersetuju de­ngan pandangan tersebut. Dianggarkan terdapat kira-kira 1.1 juta etnik minoriti Islam Rohingya yang mendiami negeri Rakhine, barat Myanmar.

Dalam pada itu, Bangladesh dan agensi-agensi bantuan bertungkus lumus menangani ketibaan baharu pelarian Rohingya. Mereka terpaksa berlindung di tepi jalan, lereng bukit dan tempat terbuka berhampiran bandar Cox’s Bazar, dekat sempadan Myanmar.

Menurut agensi-agensi ban­tuan, beribu-ribu pela­rian Rohingya kini di ambang kebuluran dan berdepan ancaman wabak penyakit.

“Sebahagian kanak-kanak Rohingya ini menjadi saksi kepada tragedi keganasan dan pembunuhan. Sebilangan mereka ditembak, manakala yang lain melihat sendiri kediaman dibakar dan ibu bapa mereka dibunuh,” kata Pierce.

Kerajaan Bangaldesh sebelum ini mengumumkan akan membina 14,000 tempat perlindungan bagi menampung kira-kira 400,000 pelarian. Dhaka juga mempertimbangkan untuk me­nempatkan pelarian Rohingya di sebuah pulau terpencil di perairan negara itu. – AFP