Baik pulih telefon di depan pelanggan

MOHD. Hariz merupakan teraju utama di sebalik kejayaan yang dicapai oleh The Mekanik.


ALUNAN muzik daripada pembesar suara komputer riba kedengaran cukup rancak dan mengasyikkan. Namun, pemuda itu langsung tidak terkesan. Dia tetap khusyuk meneruskan tugas membaiki telefon pintar di hadapannya.

Jari-jemarinya lincah membuka beberapa skru kecil pada setiap permukaan skrin telefon pintar iPhone itu dengan menggunakan pemutar skru.

Dia membelek skrin kaca berbentuk segi empat tepat yang dipenuhi kesan retak itu dengan penuh berhati-hati.

“Panel LED (diod pancaran cahaya) dah pecah ni, dah tak boleh baiki. Kalau kes macam ini kena tukar set skrin yang baharu. Jika puan setuju, saya tukar sekarang. Cajnya sekitar RM300 sahaja termasuk upah,” tuturnya lembut sambil menunjukkan skrin tersebut kepada wanita di hadapannya.

Lazimnya begitulah rutin Mohd. Hariz Md. Yusof, 22, yang juga merupakan pengasas dan pemilik The Mekanik yang terletak di dalam premis Bello Gadget di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi, Selangor itu.

Bermula dari pukul 11 pagi hingga 11 malam, dia dan kakitangannya sentiasa ramah melayan pelanggan mahu mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan.

Minat


SELAIN di dalam premis, The Mekanik turut menawarkan perkhidmatan membaiki telefon pintar secara bergerak di sekitar Lembah Klang.


Bercerita tentang minatnya itu, anak bongsu daripada enam beradik itu berkata, semuanya bermula selepas dia bekerja di sebuah kedai telefon di Bandar Baharu Kulim, Kedah selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Katanya, dia yang menjadi jurujual ketika itu sering melihat juruteknik di kedai itu membaiki telefon pintar milik pelanggan.

“Sambil bekerja, saya belajar membaiki telefon pintar secara diam-diam di samping ilmu perniagaan kedai telefon. Saya gunakan telefon sendiri sebagai bahan uji kaji dan bagi meningkatkan kemahiran saya turut membaiki telefon pintar yang dihantar oleh rakan-rakan,” ujarnya yang berasal dari Bandar Baharu Kulim.

Sekitar tahun 2014, dia telah menyambung pengajian pada peringkat diploma di sebuah kolej di Bangi namun berhenti separuh jalan kerana tidak meminati kursus perniagaan yang ditawarkan.

Ketika itu, katanya, dia telah melihat iklan tawaran jawatan juruteknik di sebuah kedai telefon di Ampang, Kuala Lumpur.

“Saya berjaya mendapat pekerjaan tersebut dan sejak itu saya mula mendalami ilmu dan kemahiran membaiki pelbagai jenis telefon pintar.

“Biarpun gaji agak kecil namun saya berusaha menyimpan duit dengan harapan untuk membuka perniagaan sendiri.

“Alhamdulillah, impian itu berjaya dilaksanakan dengan tertubuhnya The Mekanik, Januari tahun lalu dengan modal sekitar RM10,000.

“Enam bulan kemudian, saya menubuhkan cawangan kedua The Mekanik di Anggerik Mall, Shah Alam yang kini diuruskan oleh abang saya, Mohd. Syafiq, 23,” katanya.

Menurut Mohd. Hariz, selain beroperasi di dalam premis, The Mekanik turut menawarkan perkhidmatan secara bergerak khususnya bagi pengguna iPhone.

“Menerusi perkhidmatan ini, kami akan bertemu pelanggan di lokasi yang telah dipersetujui dan membaiki telefon secara bersemuka.

“Perkhidmatan ini ditawarkan di sekitar Bangi, Kajang, Putrajaya dan Kuala Lumpur selain di sekitar Shah Alam, Klang, Rawang, Subang Jaya dan Petaling Jaya (cawangan Shah Alam),” jelasnya.

Sementara itu, Mohd. Syafiq berkata, sebelum ini, dia bekerja sebagai juruteknik di sebuah konsortium pengangkutan awam di ibu negara.

Bagaimanapun, pelawaan adiknya agar dia turut sama menjadi rakan kongsi perniagaan itu berjaya menarik minatnya sehingga nekad berhenti kerja.

“Saya akui pada mulanya agak terkial-kial untuk belajar membaiki telefon pintar kerana ia mempunyai banyak komponen dan agak kompleks.

“Hampir tiga bulan saya berguru dengan adik sebelum mahir dan mampu membaiki apa sahaja model telefon yang dihantar pelanggan,” katanya.

Jelasnya, ketika peringkat awal kebanyakan peralatan dan aksesori telefon pintar diperoleh daripada pemborong tempatan.

Syurga gajet


THE MEKANIK berkongsi premis dengan Bello Gadget yang terletak di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi.


Bagaimanapun, selepas lama bertapak dalam perniagaan itu, The Mekanik mula membina jaringan di luar negara dan kini menjadikan Shenzen dan Guangzhou di China yang terkenal dengan jolokan syurga gajet sebagai lokasi mendapatkan pelbagai aksesori secara borong.

“Di sana, sebut apa sahaja model telefon pintar dan aksesori yang dikehendaki, semuanya ada di depan mata.

“Kami ke sana dua kali setahun dan memperuntukkan puluhan ribu ringgit untuk membeli secara borong kerana harga yang jauh lebih murah,” ujarnya.

Seorang kakitangan The Mekanik, Mohd. Hamzani Zahari, 29, berkata, sebahagian besar telefon pintar yang dihantar pelanggan lazim melibatkan kerosakan skrin dan panel LED.

Selain itu, katanya, ada juga kerosakan seperti bateri tidak tahan lama, butang telefon pintar tidak berfungsi atau kerosakan papan induk (motherboard).

Menariknya, Mohd. Hamzani hanya belajar membaiki telefon pintar menerusi YouTube.

“Kebetulan ketika itu, kamera telefon saya rosak, jadi selepas melihat video yang berkaitan di YouTube, saya berusaha membaikinya sendiri.

“Tidak sangka, ia kembali pulih seperti sediakala. Selepas itu saya beli telefon pintar terpakai dan membaikinya dengan niat untuk belajar.

“Pada masa sama, saya turut menjalankan perkhidmatan membaiki kerosakan kecil telefon pintar secara bergerak di sekitar Seremban,” katanya.

Pengalaman baharu

Katanya, selepas tiga bulan melakukan perkara tersebut, dia telah ditawarkan bekerja di The Mekanik.

“Di sini peralatan dan aksesori lebih lengkap dan pada masa sama, saya banyak belajar ilmu baharu daripada Mohd. Hariz.

“Lagi pun pelanggan tidak pernah putus di sini sekali gus membolehkan saya mengasah lebih banyak kemahiran dalam bidang ini,”katanya.

Sementara itu, seorang pelanggan, L. Tushita, 33, berkata, dia telah dua kali berkunjung ke The Mekanik bagi membaiki telefon pintar dan berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan.

“Di sini, saya berpeluang melihat sendiri kerja-kerja baik pulih yang dilakukan dan pelanggan juga diberi penerangan mengenai kerosakan yang berlaku dan cadangan untuk menyelesaikannya.

“Selain harga yang ditawarkan lebih murah berbanding di tempat lain pelanggan juga berpeluang mendapat jaminan terhadap perkhidmatan baik pulih yang dilakukan,” katanya.