Bantu pembelajaran murid pedalaman Sabah menerusi cerita rakyat


Beberapa orang murid tekun mendengar cerita rakyat yang disampaikan oleh seorang guru dari IPG Kampus Kent.


CERITA rakyat dalam sistem pembelajaran Bahasa Melayu seperti Si Tanggang, Bawang Putih Bawang Merah, Sang Kancil dan sebagainya memang banyak diselitkan dalam silibus pendidikan sekolah rendah.

Perkara itu dilaksanakan bagi membantu murid-murid untuk belajar mengenal huruf dan membaca, sekali gus membentuk sahsiah diri menjadi insan berjaya dengan jati diri Malaysia.

Namun, bagi murid-murid yang tidak dibiasakan dengan identiti budaya masyarakat Melayu, mereka berkemungkinan akan menghadapi kesukaran mencerna cerita-cerita rakyat ini untuk dijadikan teladan kepada mereka.

Hal ini banyak berlaku terutama dalam kalangan masyarakat pribumi atau Orang Asal di Malaysia. Selain itu, masalah buta huruf dalam kalangan mereka juga amat tinggi.

Kajian-kajian yang dijalankan berkaitan pendidikan kanak-kanak Orang Asal mendapati salah satu faktor penyumbang permasalahan ini adalah kerana kanak-kanak daripada golongan itu kurang minat ke sekolah.

Mereka juga tidak dapat mengaitkan kehidupan harian mereka dengan apa yang mereka pelajari di sekolah.

Sebagai contoh, kanak-kanak Orang Asal diajar membaca perkataan-perkataan seperti bas, kapal terbang, komuter dan kereta api yang sering digunakan dalam konteks kenderaan sehari-hari masyarakat umum.

Namun, bagi kanak-kanak Orang Asal yang datang daripada latar kehidupan berbeza, jenis pengangkutan tersebut adalah terlalu asing buat mereka.

Justeru, para guru terpaksa menggunakan jenis pengangkutan lain seperti perahu, rakit, bot, dan sebagainya yang lebih hampir dengan kehidupan mereka untuk dijadikan contoh dalam pembelajaran.

Menyedari permasalahan itu, penyelidik dari Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Dr. Mohd. Nazri Abdul Rahman telah membangunkan siri modul cerita rakyat berasaskan masyarakat Orang Asal di Malaysia untuk membantu menanganinya. Fokus pertamanya adalah kepada masyarakat Orang Asal di pedalaman Sabah.

Dengan menggunakan geran penyelidikan dari Pusat Komuniti dan Kelestarian Universiti Malaya (UMCares) serta kerjasama Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent, Tuaran, Sabah, sebuah modul pembelajaran asas literasi berdasarkan cerita-cerita rakyat Orang Asal telah dilaksanakan di beberapa lokasi pedalaman Sabah.

Tabika Perpaduan Kampung Lohan, Ranau dan Prasekolah IPG Kampus Kent, Tuaran telah dipilih sebagai sekolah sulung projek bagi pelaksanaan modul itu.

“Pada masa yang singkat, pelaksanaan projek ini telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan dengan peningkatan kebolehan asas membaca dalam kalangan kanak-kanak Orang Asal.

“Melalui modul ini, guru dapat mempelbagaikan pendekatan pengajaran dan pembelajaran dengan mengaitkan pengalaman kehidupan seharian mereka,” kata Mohd. Nazri.

Seorang guru tabika, Noor Baidareh Julubin berkata, dia kini kerap menggunakan cerita-cerita rakyat tempatan dengan menjalankan aktiviti wayang kulit bersama pelajar.

“Saya dapati proses pengajaran dan pembelajaran saya menjadi lebih menarik dan murid-murid turut terlibat secara aktif. Mereka berminat untuk membaca buku-buku cerita rakyat tersebut,” katanya yang bertugas di Tabika Perpaduan Kampung Lohan.

Perkara itu turut diakui seorang Guru Prasekolah IPG Kampus Kent, Muhammad Eddy Piut dengan memberitahu, jika dahulu dia banyak menggunakan buku cerita tersohor seperti Snow White, Cinderella dan Pak Pandir sebagai bahan bacaan kanak-kanak, namun kini dia berbangga kerana dapat menggunakan buku cerita rakyat masyarakatnya sendiri untuk disampaikan kepada murid.

“Penggunaan buku-buku cerita rakyat ini juga menjadi daya tarikan kepada kanak-kanak untuk ke sekolah setiap hari kerana ingin membaca dan mendengar kisah-kisah masyarakat yang hampir dengan mereka,” katanya.

Perubahan sikap


Murid tabika melakukan persembahan berdasarkan cerita rakyat Sabah.


Pelaksanaan model pembelajaran itu turut menerima respons positif daripada golongan ibu bapa. Malah, mereka turut melibatkan diri dalam beberapa aktiviti berkaitan yang dianjurkan seperti pertandingan bercerita Cerita Rakyat Orang Asal Sabah, pementasan teater kanak-kanak Cerita Asal Usul Padi dan pertandingan Pintar Kreatif.

“Anak saya telah menunjukkan perubahan yang ketara sejak membaca cerita-cerita ini. Dia sudah mula pandai mengurus diri, membantu saya di rumah selain turut berkelakuan baik secara amnya.

“Dia menjadikan Hominodun, salah seorang watak di dalam bukunya sebagai contoh teladan untuk diikuti,” kata seorang ibu, Sabariah Khairuddin.

Bagi Pensyarah Cemerlang Pendidikan Khas dan Pemulihan, IPG Kampus Kent, Lajiwin Govinia Kudun pula, pelaksanaan modul itu secara tidak langsung telah melestarikan kesamarataan bagi semua kaum dalam peluang pendidikan.

Malah katanya, cerita rakyat tempatan Sabah yang telah dibukukan dan dijadikan bahan bacaan juga mampu menarik minat kanak-kanak bermasalah pembelajaran untuk mengenal huruf dan mengeja. Selain itu, ia membantu kanak-kanak lebih fokus untuk membaca dengan bantuan ilustrasi gambar yang menarik.

“Ia secara tidak langsung berjaya mengekang masalah utama mengenai rekod kehadiran murid ke sekolah yang disebabkan strategi pengajaran dan pembelajaran, bahan sumber pembelajaran serta pedagogi yang tidak memenuhi keperluan pembelajaran kanak-kanak Orang Asal.

“Masalah ketidakhadiran yang tinggi dalam kalangan murid-murid Orang Asal sememangnya memberi kesan besar terhadap kebolehan membaca mereka,” katanya.

Tambahnya, selain menggabungkan cerita rakyat dalam proses pembelajaran literasi asas, pelaksanaan model baharu itu juga dapat menanam nilai tradisi serta kepercayaan masyarakat.

Usaha ini secara tidak langsung melestarikan jati diri kaum pribumi, bermula pada usia yang muda.