Mangsa banjir di Melaka berkurangan kepada 122 orang

20/09/2017 9:50am

MELAKA - Jumlah mangsa banjir di Melaka berkurangan kepada 122 orang pagi ini berbanding 132 orang malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali berkata, jumlah mangsa banjir yang terdiri daripada pelajar dan pengajar tahfiz Madrasah Tahfiz al-Quran Ainur Syukriah berkurangan daripada 80 orang kepada 70 pagi ini.

Katanya, kesemua mangsa madrasah tahfiz itu sebelum ini ditempatkan di Masjid Kampung Panchor, Durian Tunggal kemudian dipindahkan ke Balai Raya Kampung Panchor.

"Jumlah mangsa banjir di dua lagi pusat pemindahan sementara tidak berubah iaitu 47 mangsa daripada lapan keluarga di Sekolah Kebangsaan Belimbing Dalam, Durian Tunggal dan lima mangsa daripada dua keluarga masih lagi berteduh di Balai Raya Kampung Tanjung Rimau Luar, Gadek," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka berkata, keadaan cuaca pada sebelah pagi adalah baik dan paras air sungai berada dalam keadaan normal. - Bernama