Polis tumpaskan sekumpulan 12 individu culik pelajar

20/09/2017 2:42pm


Hasnan menunjukkan sebahagian daripada wang tebusan berjumlah RM175,400 yang dibayar oleh bapa mangsa.


IPOH – Polis Perak berjaya menumpaskan sekumpulan 12 individu termasuk seorang remaja 17 tahun yang disyaki terlibat dalam kes penculikan seorang pelajar selepas menahan mereka dalam lapan serbuan berasingan di Johor Bahru, Johor dan Butterworth, Pulau Pinang 5 September lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, kesemua 12 suspek yang berusia 17 hingga 36 tahun itu ditahan dalam tempoh tidak sampai satu jam selepas bapa mangsa menyerahkan wang tebusan RM300,000 kepada suspek di Johor Bahru pada hari sama.

“Mangsa berusia 17 tahun itu diculik di satu lokasi di Butterwoth, Pulau Pinang pada kira-kira pada pukul 8 malam 3 September lalu sebelum bapa mangsa yang berusia 43 tahun itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping pada pukul 3.30 petang keesokan harinya.

“Suspek membuat panggilan telefon kepada bapa mangsa yang merupakan seorang peniaga kedai barang-barang terpakai bagi meminta wang tebusan RM3 juta selain mengugut untuk mencederakan dan membunuh mangsa sekiranya tidak berbuat demikian,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Katanya, selepas proses penyerahan tersebut selesai, polis terus menahan 12 suspek dalam lapan serbuan berasingan di Johor Bahru dan Butterwoth pada hari sama serta berjaya mendapatkan kembali wang tunai RM175,400 bersama mereka. - K! ONLINE