Penduduk berisiko air pasang besar di Selangor dinasihat berwaspada

20/09/2017 10:15pm


gambar hiasan.


SHAH ALAM - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Selangor menasihatkan penduduk di lima daerah dikenal pasti berisiko terkesan dengan fenomena air pasang besar supaya lebih berwaspada dan mematuhi arahan agensi penyelamat sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir.

Lima daerah yang berisiko dilanda fenomena terbabit adalah Klang melibatkan kawasan Pengkalan Tok Muda, Batu 4 Jalan Kapar, Ban Semesta, Pelabuhan Klang dan Jalan Pandamaran-Banting; Tebuk Mendeling, Sungai Air Tawar dan Sungai Panjang (Sabak Bernam); Tanjung Karang, Kampung Kuantan, Pantai Remis dan Pekan Sungai Buloh (Kuala Selangor); Pesisir Pantai Bagan Lalang (Sepang) serta pesisiran Pantai Kelanang dan Pantai Tanjung Sepat di Kuala Langat.

Fenomena air pasang diramal berlaku selama empat bulan pada tarikh-tarikh tertentu bermula hari ini hingga Jumaat, 6 hingga 9 Oktober, 4 hingga 7 November serta 4 dan 5 Disember yang mana paras air laut dijangka mencapai sehingga 5.6 meter.

Ketua Unit Pengurusan Bencana negeri, Ahmad Fairuz Mohd. Yusof berkata, semua persediaan telah dilakukan jawatankuasa tersebut termasuk kerja-kerja pengukuhan dan meninggikan tebing di pesisir pantai kawasan terlibat bagi mengelakkan kejadian limpahan air laut tinggi ke kawasan penempatan sehingga menyebabkan banjir berulang.

Namun kata beliau, sekiranya hujan lebat dan angin kencang turut melanda pada tempoh sama fenomena itu berlaku, paras air laut akan menjadi lebih tinggi menyebabkan pintu-pintu kawalan air perlu ditutup bagi mengelakkan lebihan air laut itu memasuki saluran berkenaan dan terjadinya banjir yang teruk. - Bernama