Karya seram nukilan Muhammad Fatrim


Muhammad Fatrim bersama karya seramnya, Asrama dan Asrama 2.


INDUSTRI buku di Malaysia kini boleh dikatakan semakin berkembang pesat berikutan banyak bahan bacaan yang diterbitkan setiap tahun.

Syarikat-syarikat penerbitan juga dilihat banyak memberi ruang dan peluang terutamanya kepada penulis-penulis baharu untuk menerbitkan hasil karya mereka.

Antara penulis yang mendapat peluang itu ialah Mohd. Fatrim Syah Abd. Karim, 31, yang menggunakan nama pena Muhammad Fatrim.

Melalui beberapa syarikat penerbitan yang telah bekerjasama dengannya, anak muda berasal dari Kuala Penyu, Sabah itu telah menerbitkan 12 buah buku pelbagai genre sejak 2012.

Antara genre buku yang menjadi pilihannya untuk diterbitkan adalah cerita seram.

Muhammad Fatrim telah menghasilkan beberapa karya seram dan antara yang mendapat sambutan daripada pembaca ialah novel berjudul Asrama.

Biarpun sudah menulis buku sejak tahun 2012 namun, karya bergenre seram pertamanya, Asrama hanya dihasilkan bermula tahun 2013.

“Saya amat berterima kasih kepada syarikat penerbitan Buku Fixi kerana memberi peluang untuk saya berkarya.

“Pada mulanya saya sekadar ingin mencuba apabila syarikat penerbitan itu menawarkan kepada sesiapa yang berminat untuk menulis karya bertajuk Asrama di laman sosial Facebook mereka,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Muhammad Fatrim berkata, dia pada mulanya sekadar mahu mencuba, lalu menghantar draf tiga bab awal cerita itu kepada syarikat penerbitan tersebut.

Tanpa disangka, syarikat penerbitan tersebut berminat dengan draf awal yang dihantar dan meminta dia menghabiskan penulisannya.

Atas kepercayaan yang diberikan kepadanya, dia kemudian mengambil masa sekitar dua bulan untuk menyelesaikan penulisannya.

“Asrama menceritakan tentang bagaimana seorang gadis diganggu oleh hantu di sekolah baharunya. Gadis itu tinggal di asrama sekolah itu dan beberapa kejadian pelik menghantui dirinya.

“Cabaran utama untuk menghasilkan karya ini adalah dari segi idea. Ini kerana ia merupakan naskhah seram pertama yang dihasilkan oleh saya. Jadi, saya perlu olahnya dengan menarik untuk memberi kesan kepada pembaca,” jelasnya.

Sambungan

Tambahnya, naskhah itu telah membolehkannya dikenali dalam arena penulisan tanah air.

Selepas empat tahun penerbitan novel berjudul Asrama itu, kini Muhammad Fatrim membuat sambungan terhadap penceritaan itu menerusi karya terbaharunya iaitu Asrama 2.

Katanya, permintaan daripada pembaca mendorongnya untuk menghasilkan karya Asrama 2.

“Selain mendapat permintaan daripada pembaca, penerbitan buku ini juga boleh dianggap sebagai satu strategi untuk mengangkat kembali naskhah awal saya.

“Pada mulanya saya tidak ada perancangan untuk membuat sambungan kisah tersebut. Namun selepas kebanyakan pembaca mahu ia disambung, saya cuba mencabar diri untuk melakukannya dan Alhamdulillah ia berjaya dihasilkan,” ujarnya.

Tambahnya, untuk menghasilkan Asrama 2 juga memberi cabaran tersendiri kepadanya terutamanya bagaimana untuk dia memperkembangkan watak utama yang telah mati pada karya pertamanya.

Namun segala cabaran itu berjaya diatasinya dan naskhah Asrama 2 dapat diterbitkan tanpa sebarang masalah.