ALF bakal jadi karya francais Syafiq Yusof


SYAFIQ bersyukur apabila filem arahannya, ALF2 berjaya meraih kutipan lebih RM16 juta selepas ditayangkan pada 24 Ogos lalu.


MERAIH kutipan lebih RM16 juta di pawagam, pengarah filem Abang Long Fadil 2 (ALF2), Syafiq Yusof mampu menghela nafas lega apabila buah tangan baharunya itu mendapat sambutan baik daripada penonton.

Insiden kebocoran filem berkenaan sehari selepas hari pertama ditayangkan pada 24 Ogos lalu jelas tidak memberi kesan mahupun melenyapkan keinginan peminat menyerbu menyaksikan ALF2 di pawagam.

Dijadikan sebagai pembakar semangat untuk berusaha lebih gigih pada masa depan, Syafiq tidak menolak kejayaan filem berkenaan dipengaruhi oleh banyak faktor.

Antara yang menjadi tarikan ialah plot penceritaan yang memenuhi cita rasa penonton terutama masyarakat luar bandar. Biarpun kurang menarik perhatian umum terutama di kawasan Lembah Klang, pengarah yang pernah menghasilkan filem Vila Nabilla itu bagaimanapun tetap berbangga dengan kejayaan naskhah ALF2.

Selain berkongsi kemanisan kejayaan filem ALF2, Syafiq juga berkongsi kehidupan sebagai bapa kepada seorang cahaya mata dan bakal menimang seorang lagi anak dalam tempoh lima bulan akan datang.

KOSMO!: Tahniah atas kejayaan filem ALF2 yang dikhabarkan telah meraih kutipan lebih RM16 juta. Bolehkah Syafiq kongsikan perasaan apabila mengetahui akan perkara tersebut?

SYAFIQ: Pastinya saya berasa gembira dan bersyukur. Terima kasih tidak terhingga kepada penonton yang menyokong filem tersebut selain teruja apabila mengetahui kebanyakan mereka menyukai plot penceritaan yang disampaikan.

Setelah ALF2 memperoleh kejayaan luar biasa, adakah anda merancang untuk menghasilkan sekuel ketiga filem tersebut?

Insya-Allah besar kemungkinan saya akan menghasilkan Abang Long Fadil 3 bagi kesinambungan ALF2. Segalanya masih dalam perancangan. Sekiranya sambutan yang diterima juga memberansangkan, saya merancang untuk menjadikan ALF2 sebagai naskhah francais sama seperti Fast and Furious.

Berbekalkan jalan cerita dan lakonan mantap barisan pelakon, pastinya saya mengharapkan karya akan datang turut berjaya mendapat sambutan baik daripada peminat.

Menggalas tanggungjawab sebagai pengarah filem tersebut, adakah anda pergi ke pawagam untuk menyaksikan sendiri reaksi penonton?

Pada hari pertama tayangan saya telah ke pawagam di pusat membeli-belah Suria KLCC dan mendapati hanya empat orang penonton sahaja yang menyaksikan ALF2.

Saya berasa terkejut selain menjangkakan naskhah ini akan gagal kerana kurang mendapat sambutan. Hari berikutnya, saya terkejut apabila keseluruhan filem ALF2 dimuat naik ke Facebook.

Insiden itu bagai menambah garam pada luka sehingga menyebabkan saya berasa kecewa. Kemudian, selepas mendapat keputusan daripada pihak pengedar, syukur ALF2 mendapat sambutan hangat di pawagam terutama masyarakat luar bandar.

Selain Suria KLCC, tayangan ALF2 hanya mampu bertahan selama seminggu di pusat beli-belah Pavilion. Saya faham itu hak mereka kerana ini merupakan perniagaan, jadi semuanya lumrah industri filem.

Menurut anda, mengapakah filem ALF2 kurang mendapat sambutan penonton terutama di kawasan bandar?

Buat masa sekarang saya masih tidak mengetahui apa puncanya. Mungkin plot penceritaan yang disampaikan terlalu biasa buat penonton bandar, berbeza pula penerimaannya dengan penonton luar bandar.

Adakah kejayaan ALF2 ada kaitan dengan pengaruh bapa, Datuk Yusof Haslam yang sememangnya individu berpengaruh dalam industri?

Secara peribadi, sebagai anak saya tidak dapat lari daripada kenyataan itu. Sekiranya beliau tiada, saya pastinya tidak dapat berkarya seperti sekarang dan mungkin akan menjadi seorang pegawai bank.

Namun, saya telah berusaha keras dan mencurahkan segala tenaga untuk lakukan yang terbaik buat filem ini. Kerjasama daripada pihak Astro dengan melakukan promosi terhadap filem ini juga tidak dapat disangkal. Mereka benar-benar hebat.

Apakah karya terbaharu sekarang?

Saya akan muncul dengan filem KL Special Force yang dijadualkan tayangan pada awal tahun depan. Saya juga akan menerbitkan sebuah filem menerusi syarikat sendiri iaitu Viper Studios Sdn. Bhd. bertajuk Sekolah Ha Ha.

Menerusi filem tersebut saya menggunakan khidmat Mat Luthfi sebagai pengarah yang turut bertindak sebagai pelakon utama di samping artis media sosial, Luqman Podolski.

Apakah membuatkan anda tertarik untuk bekerjasama dengan artis media sosial?

Bagi yang mengenali, mereka akan mengetahui saya bermula menerusi YouTube dengan menghasilkan karya filem pendek. Jadi, daripada itu saya mula menanam impian untuk bekerjasama dengan artis media sosial terutama Mat Luthfi.

Selain mengenai aktiviti seni, bolehkah anda kongsikan kehidupan peribadi sekarang?

Alhamdulillah segalanya berada dalam keadaan baik. Tambahan isteri, Aeisha Zainal saya sekarang sedang hamil empat bulan anak kedua kami. Anak pertama, Nuur Jannah kini berusia setahun lapan bulan, isteri saya hamil cahaya mata kedua.

Pertambahan ahli keluarga adakalanya membuatkan saya ingin meluangkan lebih masa bersama keluarga. Adakalanya isteri akan ke set penggambaran bersama anak tetapi tidak selalu kerana usia anak masih terlalu kecil dan suka meragam.