Ceria membelai ikan berwarna-warni

KARANG di Pulau Tioman masih terpelihara daripada pencemaran.


Sebaik sahaja enjin dimatikan dan bot berlabuh di Tulai 2, hentian pertama aktiviti bersnorkel di Pulau Tioman, Pahang, Suraini Baharun, 38, segera memeluk anaknya, Danial Nuqman Muhamad Yazid.

Kanak-kanak berumur lima tahun itu meronta-ronta minta dilepaskan kerana begitu teruja untuk terjun ke dalam laut yang jernih itu.

Abang, kakak dan rakan-rakan ibunya pula masih sibuk memakai jaket keselamatan selain mencuba set snorkel.

“Saya terpaksa memegang Danial Nuqman kerana risau dengan keselamatannya,” kata suri rumah itu.

Anaknya yang merupakan murid Tadika Taman Seri Gombak Fasa 4, Selangor itu memang menyukai aktiviti renang.

Akhirnya, wajah Danial Nuqman berubah ceria apabila berjaya terjun ke dalam laut dan dapat bermain bersama ikan-ikan yang agak jinak itu.

Hampir 20 minit berada di kawasan perairan itu, pemandu bot mengarahkan kesemua penumpang naik ke dalam bot untuk ke lokasi bersnorkel seterusnya iaitu Monkey Bay, Taman Marin, Pulau Rengis dan Pulau Coral.

Suraini dan keluarganya merupakan sebahagian daripada 13 peserta yang mengikuti kembara ke Pulau Tioman bersama ahli keluarga baru-baru ini.

Pengembaraan tersebut berjaya direalisasikan hasil pelawaan rakan mereka, anak jati pulau berkenaan, Siti Hawa Hamidun. Begitupun, dia kini tinggal di Tanjung Gemuk.

Pulau Tioman boleh diakses melalui dua jeti iaitu di Jeti Mersing, Johor dan Jeti Tanjung Gemuk dengan menaiki bot atau feri.

Kumpulan pengembara kecil itu memilih menaiki feri di Tanjung Gemuk seawal pukul 7 pagi dan tiba di jeti pulau berkenaan dua jam selepas itu.

Mereka kemudian, dibawa ke calet di Kampung Tekek yang terletak berdekatan dengan jeti.

Aktiviti wajib


SURAINI (belakang, dua dari kiri), Syarifah Endah (lima dari kiri) dan Siti Hawa (lima dari kanan) bersama sebahagian daripada rakan kembara bergambar di jeti Tanjung Gemuk baru-baru ini.


Memandangkan Siti Hawa lebih arif mengenai selok-belok penginapan, makanan dan minuman serta tempahan bot untuk bersnorkel, maka peserta kembara meminta jasa baiknya yang turut dibantu abangnya, Hafizi Hamidun untuk membuat tempahan. Ia juga bagi melancarkan segala program percutian yang diatur sebelum ini.

Menurut Siti Hawa, 27, aktiviti bersnorkel merupakan program wajib yang perlu dilakukan oleh pengembara ketika berada di Pulau Tioman.

“Meskipun tidak tahu berenang, seseorang itu tetap perlu melakukan aktiviti ini. Bersnorkel lebih selamat kerana mereka akan dipakaikan dengan jaket keselamatan serta peralatan yang betul,” katanya.

Menurut Siti Hawa, setiap lokasi bersnokel di pulau berkenaan memiliki keunikan tersendiri. Misalnya, Pulau Rengis memiliki hamparan batu karang yang sangat cantik dan unik.

Pelbagai jenis dan warna batu karang itu, katanya, menawarkan satu pemandangan yang memukau. Air laut yang jernih membuatkan batu karang itu seakan-akan berada dekat untuk disentuh.

Manja


SALAH sebuah resort yang terdapat di Pulau Tioman yang menawarkan kemudahan penginapan selesa kepada pelancong.


Selain itu, Hawa menjelaskan, bersnorkel di Taman Laut pula memberi pengalaman berbeza kerana peserta dapat bermanja dengan pelbagai jenis ikan yang begitu jinak.

Antara jenis ikan yang terdapat di situ ialah inggu, bayan, dengkis, seriding, kerapu bara, bagong, buntal, jebong, betol dan bechok.

Aktiviti bersnorkel di pulau tersebut selalunya akan mengambil masa hampir separuh hari dan pasti meletihkan peserta termasuk kelaparan.

“Peserta akan berhenti rehat untuk makan tengah hari di Kampung Salang.

“Memandangkan aktiviti riadah ini memerlukan stamina yang banyak, jadi mereka sentiasa berasa lapar. Justeru, saya akan memastikan hidangan tengah hari yang dihidangkan kepada peserta mencukupi dan menyelerakan.

“Lauk kampung termasuk makanan laut pasti menjadi sajian utama mereka,” ujarnya.

Menurut Siti Hawa, aktiviti beriadah bersama rakan-rakan kembaranya merupakan masa terbaik untuk beramah mesra sambil menikmati hidangan lauk kampung.

Siti Hawa yang membantu ibunya berniaga di gerai di Tanjung Gemuk sering menjadi jurupandu kepada rakan-rakannya yang bercuti ke Pulau Tioman.

“Saya suka melayan tetamu yang datang menziarahi di sini. Mereka datang untuk melancong. Jadi mereka memerlukan bantuan saya yang merupakan penduduk tempatan.

“Biasanya saya akan membantu mereka mendapatkan pakej serendah RM350 seorang untuk dua hari satu malam,” jelasnya.

Sementara itu, Syarifah Endah Syed Alwee, 49, memberitahu, aktiviti bersnorkel memberi peluang kepada keluarganya untuk meneroka keunikan Pulau Tioman.

Dia yang merupakan pengusaha butik menjadikan aktiviti bersnorkel itu sebagai terapi minda untuk merehatkan dirinya yang sibuk dengan tugasan seharian.

“Aktiviti ini dapat mengeratkan hubungan kami sekeluarga dan memberi peluang kepada kami untuk berkenalan dengan lebih rapat dengan rakan-rakan kembara lain,” jelasnya.