Keindahan alam dan seni bina di Wales, Britain


SUASANA menarik yang dapat disaksikan dari atas menara Istana Conwy.


SEBAGAI pelajar tahun pertama di luar negara, penulis pada awalnya tidak mempunyai sebarang perancangan khusus untuk mengembara ke tempat-tempat tertentu. Ini kerana, bagi penulis, tahun pertama harus digunakan sebaik mungkin untuk memulakan rentak hidup berjauhan daripada keluarga dan tanah air tercinta.

Setelah beberapa bulan di Britain atau bumi Ratu, penulis sedar bahawa ini juga peluang mudah untuk mengembara bagi melihat dunia dalam skop yang berbeza.

Hasilnya, cuti musim bunga yang sinonim dengan waktu untuk meneroka rahsia keindahan alam telah digunakan oleh penulis untuk melawat Taman Negara Snowdon di utara Wales, Britain.

Perjalanan selama tiga hari dua malam itu merupakan perancangan saat-saat akhir kerana idea untuk melawat destinasi itu tercetus atas nasihat seorang senior yang menggalakkan penulis mengecapi pengembaraan terbaik meskipun dalam jangka masa singkat.

Menggunakan perkhidmatan kereta api Trainline, penulis sangat mementingkan pengembaraan yang bajetnya rendah memandangkan status penulis sebagai seorang pelajar.

Perjalanan yang memakan masa selama dua jam setengah dari Manchester itu dimulakan sebelum Subuh kerana caj tiket selalunya akan lebih murah pada waktu bukan puncak.

Panorama suria yang menjulang di sebalik bukit bukau dan curahan warna hijau ladang-ladang milik penduduk tempatan membuatkan penulis terpukau dengan keindahan bumi yang bersuhu 5 darjah Celsius ketika itu.

Setibanya penulis di stesen kereta api Llandudno, keheningan pagi sangat terasa kerana penduduk tempatan selalunya hanya memulakan aktiviti mereka pada pukul 9 pagi.

Mencabar


Panorama unik berlatarbelakangkan Istana Conwy yang masih dalam keadaan baik untuk dikunjungi.


Peluang ini digunakan untuk penulis dan tiga rakan lagi untuk meneroka tempat-tempat di sekitar stesen tersebut dengan hanya berjalan kaki.

Tanpa perlu membelanjakan wang, penulis dan rakan-rakan bergerak ke Istana Conwy yang terletak hanya 10 minit dari stesen kereta api tersebut dengan perjalanan kaki.

Gerimis pagi tidak menjadi penghalang kerana melihat istana bersejarah itu yang masih berdiri utuh sebagai antara istana yang memiliki sentuhan seni bina terbaik di Eropah pada kurun ke-14 itu begitu mengasyikkan.

Menjadi pelawat yang berstatus pelajar sangat menguntungkan jika digunakan dengan sebaik mungkin. Penulis berjaya mendapatkan tiket lawatan ke Istana Conwy dan rumah pekerja istana tersebut pada kadar yang sangat berpatutan iaitu 7 (RM39.11).

Keramahan seorang rakan penulis dengan pekerja yang menjaga kaunter menyambut tetamu telah memberi tuah kepada kami kerana dia sudi membawa kami meneroka setiap inci rumah pekerja tersebut. Dia juga menerangkan fungsi kelengkapan rumah yang bersifat tradisional itu dan tinggi nilai estetikanya.

Hal ini memberi penulis satu dimensi yang baharu untuk mengenali perbezaan seni bina serta cara hidup masyarakat Barat dengan penduduk kerajaan-kerajaan Melayu Tua suatu ketika dahulu.

Struktur istana yang agak usang dan berbatu sangat mencabar buat penulis dan rakan-rakan untuk meneroka dengan lebih mendalam. Kami khuatir jika tergelincir lantaran beg baju yang perlu digalas setiap masa sebagai langkah keselamatan barangan berharga.

Usaha kami untuk mendaki menara istana sangat berbaloi kerana keindahan pemandangan dengan tiga unsur utama fotografi dapat dibidik pada sekeping gambar iaitu lautan, langit dan daratan.

Perjalanan diteruskan ke kaki pergunungan Snowdon dengan menaiki bas angkut-angkut yang melalui jalan sejam sekali. Kelainan dialek menyebabkan penulis lebih cenderung menunjukkan terus nama tempat yang ingin dituju kepada pemandu bas menerusi telefon pintar.

Penulis tidak melayan kehendak mata untuk lelap di dalam bas kerana pemandangan yang disajikan sepanjang ke kaki pergunungan tersebut sangat mempesona.

Usai mendaftarkan diri di tempat penginapan yang berharga 17 (RM95) semalam, kami berjalan kaki untuk meneroka keunikan tempat menarik di situ. Dari jauh, kami melihat Istana Dolbadarn yang berada di puncak bukit yang terletak sekitar 15 minit dari tempat penginapan dengan berjalan kaki.

Kami merentas denai yang tidak berbahaya untuk ke istana tersebut dan sekali lagi berasa seolah-olah berada dalam lakaran keindahan alam di atas kanvas. Ketenangan air tasik dan kerikil-kerikil gunung menyaksikan dua elemen berbeza bersatu dalam keadaan yang sangat memukau pandangan.

Kehijauan hutan pula bagai menyanyikan lagu-lagu yang mendamaikan. Peluang menaiki Snowdon Mountain Railway memberikan kepuasan kepada penulis kerana dapat menikmati pemandangan gunung-ganang pada ketinggian 1,085 meter dari aras laut.

Adrenalin


STRUKTUR bangunan Istana Dolbadarn yang masih tinggal di kaki pergunungan Snowdon.


Hari ketiga kami pula diteruskan di sebuah pekan, Blaenau Ffestiniog dengan bersarapan di sebuah hotel yang diusahakan oleh komuniti setempat.

Pengalaman menginap di desa diusahakan penduduk tempatan itu dapat dirasai di Hotel Y-Pengwern yang terletak betul-betul bersebelahan tanah perkuburan.

Inilah kos yang perlu dihadapi penulis jika bajet rendah yang menjadi sandaran utama dalam pengembaraan.

Adrenalin penulis juga diuji tatkala kami bersepakat untuk mencabar diri mencuba aktiviti flying fox, Zipline yang terpanjang di Eropah serta terpantas di dunia.

Flying fox menghubungkan gunung dan kaki gunung itu sedikit sebanyak menggamit keresahan penulis yang gayat dengan ketinggian.

Penulis juga tidak pernah menaiki roller coaster di Taman Tema Blackpool, Lancashire gara-gara masalah yang sama, namun peluang begini tidak datang dengan mudah.

Penulis berjaya menamatkan cabaran Zipline sepanjang 8,000 meter itu hasil daripada sokongan staf-staf keselamatan yang bertugas di situ.

Kemesraan mereka sedikit sebanyak mengurangkan kerisauan penulis untuk menghadapi angin kuat serta hujan lebat pada hari itu.

Kesimpulan penulis, pengembaraan yang singkat bukanlah suatu isu besar selagi mana kita bijak merancang perjalanan dengan pengisian. Peluang untuk meneroka sesuatu tempat haruslah segera diambil kerana bak kata bidalan, jauh perjalanan, luas pemandangan.

Kehidupan sebagai pelajar menuntut penulis untuk mengisi hari cuti dengan perkara yang membawa ketenangan dan memori manis untuk dikongsi bersama-sama mereka di tanah air tercinta.