Tiga nelayan nyaris lemas selepas bot yang dinaiki karam

21/09/2017 8:05pm


Tiga nelayan yang ditemui selamat oleh Maritim Malaysia selepas bot yang mereka naiki karam di Langkawi hari ini.


ALOR SETAR - Tiga nelayan nyaris lemas selepas bot pukat tunda yang mereka naiki karam berhampiran Pulau Rebak Besar, Langkawi dekat sini pagi tadi.

Dalam kejadian pada pukul 6.45 pagi, bot nelayan yang dinaiki tekong, Ai Swee Moi, 61 dan dua awak-awak iaitu Mohd. Najib Saad, 53, dan Ismail Ali, 40, sedang berlabuh kira-kira 3.7 batu nautika barat daya dari kawasan pulau tersebut sebelum karam akibat dipukul ombak kuat.

Timbalan Pengarah Daerah Maritim I Langkawi, Komander Maritim Nurulazme Zakariah berkata, ketiga-tiga nelayan tersebut dilaporkan keluar ke laut dari jeti Kuala Kedah dekat sini untuk menangkap ikan di perairan Langkawi pada dua hari lalu.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian yang menimpa tiga nelayan itu kira-kira pukul 10.45 pagi.

Katanya, sekumpulan anggota Maritim Malaysia (APMM) bergegas ke tempat kejadian dengan menaiki sebuah bot peronda untuk menyelamatkan nelayan terbabit.

"Ketiga-tiga mangsa ditemui selamat kira-kira pukul 3.20 petang berhampiran Pulau Rebak Besar.

"Mangsa yang sempat berpaut pada tong air yang terdapat dalam bot tersebut telah diselamatkan nelayan tempatan sebelum diserahkan kepada Maritim Malaysia," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Nurulazme memberitahu, kesemua mangsa yang ditemui dalam keadaan lemah dah tidak bermaya itu kemudian dibawa ke Hospital Langkawi untuk menerima rawatan.

"Ketiga-tiga nelayan itu dilaporkan stabil selepas menerima rawatan," katanya. - K! ONLINE