Osman Sabran Tokoh Maal Hijrah Selangor 2017

21/09/2017 11:40pm


Osman (dua dari kiri) bergambar bersama penerima anugerah pada majlis sambutan Maal Hijrah 20017 peringkat negeri Selangor malam ini.


SHAH ALAM - Bekas pensyarah di Fakulti Pendidikan Universiti Selangor (Unisel), Prof. Madya Dr. Osman Sabran, 68, dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 2017 peringkat negeri Selangor di sini malam ini.

Pengiktirafan itu melayakkan beliau yang juga salah seorang anggota Jawatankuasa Panel Khutbah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sejak 2008 menerima hadiah wang tunai RM20,000, sijil penghargaan, trofi serta pakej mengerjakan umrah.

Anugerah tersebut disempurnakan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dalam Majlis Sambutan Ambang Hijrah dan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Selangor di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Amin Ahmad Ahya dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim.

Osman yang berasal dari Sungai Leman, Sekinchan dan berkelulusan doktor falsafah (Syariah) dari Universiti Malaya itu melahirkan rasa terkejut dipilih sebagai tokoh maal hijrah pada tahun ini.

Dia yang turut aktif dalam bidang penulisan apabila telah menghasilkan hampir 100 artikel, kertas kerja dan khutbah untuk JAIS menghadiahkan kemenangan tersebut kepada seluruh aktivis agama Islam di seluruh tanah air.

"Saya sendiri tidak menyangka akan dipilih sebagai tokoh Maal Hijrah pada tahun ini. Kemenangan ini bukan untuk saya seorang tetapi ia adalah kemenangan untuk semua aktivis dan pendakwah yang banyak bertungkus lumus serta berkorban untuk agama Islam di negara ini.

"Terima kasih atas anugerah ini dan ia akan menjadi pemangkin kepada saya dalam terus menulis dan menerbitkan bahan-bahan agama untuk disebarkan kepada seluruh umat Islam," katanya ketika ditemui di sini hari ini. - K! ONLINE