Kesimpulan awal burukkan keadaan

INDIVIDU haruslah menahan diri daripada memberi komen di media sosial sebelum menerima maklumat yang tepat.


KEJADIAN kebakaran sebuah pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kuala Lumpur yang mengorbankan 21 pelajar dan dua guru adalah sesuatu yang sangat memilukan.

Walaupun ketika berita mengenai kebakaran ini berlaku, pelbagai reaksi yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak, khususnya kecuaian pihak pengelola pusat tahfiz berkenaan.

Pada akhirnya segala andaian tersebut ternyata salah. Kebakaran tersebut bukanlah disebabkan oleh kecuaian atau lemahnya langkah keselamatan yang diambil.

Sebaliknya, ia adalah perbuatan khianat oleh beberapa orang anak remaja yang tinggal berdekatan dengan pusat tahfiz tersebut.

Tulisan kali ini tidaklah cuba menghuraikan mengenai tragedi berkenaan. Namun, saya ingin membincangkan sebab manusia begitu cepat membuat keputusan sebelum sebab sebenar diketahui.

Seperti yang diketahui umum, sebaik sahaja berita kebakaran pusat tahfiz itu tersebar, masyarakat telah memberikan reaksi negatif.

Kolektif

Bahkan ada yang telah merumuskan bahawa ia disebabkan oleh litar pintas atau pendawaian elektrik yang tidak sempurna di pusat tahfiz berkenaan.

Komen-komen yang tersebar dalam media sosial juga kelihatannya seolah-olah mereka sudah sedia tahu sebab berlakunya kebakaran tersebut.

Manusia sebenarnya tidaklah selalu membuat andaian yang benar dalam semua keadaan.

Dalam banyak keadaan, andaian yang dibuat adalah berdasarkan kepada himpunan kolektif disebabkan oleh peristiwa yang pernah berlaku pada masa silam.

Memandangkan dalam banyak kes, kebakaran sekolah agama adalah disebabkan litar pintas atau pengabaian faktor keselamatan, maka orang ramai menggunakan hujah sama dalam membuat keputusan mereka.

Ia merupakan satu kaedah pintas dalam membuat kesimpulan, walaupun dalam kes tertentu hujah sedemikian tidak selalu benar.

Manusia membuat kesimpulan berdasarkan generalisasi atau pengetahuan silam yang mereka miliki.

Misalnya, apabila melihat kemalangan jalan raya melibatkan remaja menaiki motosikal, pertama sekali yang muncul dalam minda ialah remaja tadi mungkin menunggang laju atau tidak mengikut peraturan.

Sebaliknya, kesimpulan yang lain mungkin dibuat sekiranya kemalangan yang berlaku melibatkan kereta atau lori.

Sebenarnya, semua ini adalah bentuk pandangan ‘berat sebelah’ yang sering berlaku dalam sistem pemprosesan maklumat manusia.

Manusia membuat kesimpulan berdasarkan maklumat terdahulu dan bukannya berdasarkan fakta yang berlaku sekarang.

Manusia juga cenderung untuk melengkapkan maklumat-maklumat terdahulu dengan peristiwa yang sedang terjadi.

Sedangkan perkara yang berlaku pada masa yang lalu hakikatnya tidak pun berkaitan dengan kejadian yang berlaku pada masa ini.

Situasi ini diperteguhkan lagi dengan tersebarnya pelbagai maklumat yang datangnya daripada pelbagai sumber yang menjadikan andaian yang salah tadi seolah-olah benar.

Pelajar yang belajar di universiti misalnya, cenderung untuk menggunakan pendekatan ini.

Sekiranya pelajar mampu menghafal dengan baik, maka dia dianggap akan lulus peperiksaan dengan cemerlang.

Sedangkan hakikatnya, situasi yang ada sekarang mungkin berbeza dengan apa yang pernah dilalui pada masa silam.

Pelajar telah menggunakan situasi pembelajaran di sekolah dan cuba untuk diterapkan dalam konteks pembelajaran di universiti.

Imej


KEJADIAN kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur baru-baru ini mengundang pelbagai andaian dan spekulasi awal yang akhirnya terbukti salah.


Hakikatnya, peperiksaan hanyalah sebahagian daripada cara menilai kecemerlangan pelajar di universiti.

Markah yang lain juga diambil kira bagi menilai pencapaian pelajar, misalnya kedatangan ke kuliah, keaktifan dalam bilik darjah dan juga keupayaan dalam menyiapkan tugasan.

Dalam hubungan kekeluargaan, hal seperti ini juga berlaku. Misalnya, ada ibu bapa merungut anak-anak yang tidak mendapat markah baik dalam peperiksaan kerana sikap malas belajar.

Ini bukanlah bermakna ia juga adalah sama untuk orang lain. Ada anak-anak yang mungkin begitu tekun belajar, tetapi malangnya kejayaan bukan milik mereka.

Kegagalan mereka mungkin disebabkan oleh faktor lain, misalnya kecerdasan atau faktor kesihatan.

Jadi, dalam banyak kes, tidak semua peristiwa yang berlaku adalah disebabkan oleh punca yang sama.

Sebab itu, dalam kehidupan manusia yang kompleks, ada kalanya kita tidak perlu cepat untuk membuat kesimpulan apabila berlakunya sesuatu tragedi.

Menjadi lebih buruk komen itu bersifat negatif yang menyinggung perasaan pihak lain, sedangkan hakikatnya ia hanyalah berdasarkan andaian semata-mata.

Bayangkan dengan begitu banyak komen yang membongkar kelemahan pusat tahfiz di sana sini, pada akhirnya ia hanya merosakkan imej institusi tersebut.

Realitinya, bukanlah semua pusat tahfiz adalah seperti yang digambarkan. Sebab itu, ada kalanya berdiam itu adalah lebih baik dalam sesetengah keadaan.

Sebagai manusia, kita tidak semestinya tahu segala-galanya. Tidak juga semua perkara yang berlaku mempunyai hubungan dengan kejadian yang pernah berlaku sebelumnya.

Menahan diri daripada memberikan komen sebelum kita mendapat maklumat yang tepat adalah lebih baik buat semua.