Trump minta PBB bantu etnik Rohingya

AP - SEBAHAGIAN etnik Rohingya menunggu diagihkan bekalan makanan di kem pelarian dekat Kutupalong, Bangladesh kelmarin.


PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB) – Presiden Amerika Syarikat, Do­nald Trump meminta Majlis Keselamatan PBB mengambil langkah tegas dan cepat untuk menghentikan keganasan terhadap penduduk Rohingya.

Naib Presiden Mike Pence semasa menyuarakan hasrat Trump pada mesyuarat Majlis Keselamatan berkata, krisis di Myanmar itu kini merupakan ancaman kepada keamanan dunia.

Pence menuduh tentera Myanmar bertindak balas terhadap serangan militan di pos-pos kerajaan dengan kekejaman yang dahsyat, membakar kampung serta menghalau penduduk Rohingya dari rumah mereka.

“Melainkan jika keganasan ini dihentikan secara adil, ia hanya akan menjadi lebih buruk. Semua ini bakal menyemai benih kebencian dan huru-hara yang mungkin memusnahkan rantau ini untuk generasi akan datang selain mengancam keamanan kita semua,” kata Pence.

Kenyataan Pence merupakan tindak balas paling lantang kerajaan Amerika Syarikat (AS) terhadap ke­ga­nasan di Rakhine yang bermula pada 25 Ogos lalu sehingga memaksa 422,000 orang Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.

Diplomat memberitahu, Majlis Keselamatan boleh mempertimbangkan menggunakan kenyataan rasmi jika keadaan masih tidak bertambah baik, tetapi China dan Rusia tidak bersetuju dengan tindakan lebih kukuh yang memerlukan penggunaan resolusi veto.

Pence mengulangi gesaan AS supaya tentera Myanmar menghentikan keganasan dan menyokong usaha diplomatik untuk penyelesaian jangka panjang Rohingya.

Seramai 15 ahli Majlis Keselamatan PBB bertemu sebanyak dua kali secara tertutup sejak krisis Rohingya bermula dan minggu lepas mengeluarkan kenyataan tidak rasmi kepada akhbar yang mengutuk keadaan di negara tersebut serta dan mendesak pihak berkuasa Myanmar menamatkan keganasan. – Reuters