Tiada lagi rundingan


REUTERS - ABE berucap pada Perhimpunan Agung PBB ke-72 di ibu pejabat PBB, Bandar Raya New York, Amerika Syarikat kelmarin.


PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU – Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe kelmarin mengisytiharkan masa untuk mengadakan dialog dengan Korea Utara telah berakhir.

Beliau turut menyatakan akan terus menyokong dan berada di belakang Amerika Syarikat bagi melaksanakan apa sahaja pilihan dalam menyelesaikan masalah pembangunan peluru berpandu Korea Utara.

Berucap pada Perhimpunan Agung PBB, Abe berkata, Tokyo tiada banyak masa yang tinggal untuk mengambil tindakan terhadap Korea Utara yang melancarkan bom nuklear keenam selain satu siri peluru berpandu berhampiran Jepun.

Serangan itu dilakukan sehari selepas Presiden AS, Donald Trump mengancam untuk memusnahkan sepenuhnya Korea Utara jika melancarkan sebarang serangan senjata nuklear.

“Kami secara konsisten menyokong pendirian AS yang mengatakan bahawa kesemua pilihan untuk bertindak berada di atas meja,” kata Abe.

Abe berkata, pemimpin dunia telah cuba untuk mencapai penyelesaian dengan Korea Utara yang bermula menerusi Perjanjian Rangka Kerja 1994 disokong AS.

Namun malangnya, perjanjian itu gagal dimeterai 10 tahun kemudian.

“Sekali lagi, percubaan untuk menyelesaikan isu menerusi dialog dilihat hanya sia-sia. Apakah harapan untuk berjaya jika kita kini mengulangi kegagalan yang amat sama buat kali ketiga?

“Apa yang diperlukan adalah bukannya dialog sebaliknya tekanan,” katanya. – AFP