Anak pukul ibu dipenjara setahun


NOOR RAHMAN (kanan) diiringi anggota polis selepas keluar dari Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU Perbuatan derhaka seorang pembantu katering menampar dan menyeret ibunya sehingga cedera kerana tidak diberikan wang untuk membeli dadah berbalas apabila tertuduh dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Noor Rahman Che Mohd., 32, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada ibunya, Noor Aini Yusoff, 70-an, dengan memukul sehingga meninggalkan kesan lebam di Lot 1222, Lorong Hidayah di sini pukul 12.30 tengah hari, 15 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hamidah Mahmood manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Noor Rahman memohon mahkamah agar menjatuhkan hukuman ringan kerana perlu menanggung bayi berusia 40 hari serta isterinya yang tidak bekerja.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.