Dua lelaki pukul jiran didakwa


Dua tertuduh, Kean Soon (kiri) dan Chee Siong mengaku tidak bersalah mencederakan warga emas di Mahkamah Majistret Klang semalam.


KLANG – Dua lelaki yang didakwa memukul jiran mereka dengan rotan kayu dan merakam perbuatan tersebut sehingga ia menjadi tular di laman sosial, masing-masing mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan di dua Mahkamah Majistret berasi­ngan di sini semalam.

Tertuduh, Ching Chee Siong, 39, dan See Kean Soon, 38, yang merupakan penganggur memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin masing-masing di hadapan Majistret Roslizi Sulaiman dan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi.

Tertuduh, Chee Siong didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas seorang warga emas, Khor Meng Hong, 52, dengan menggunakan sebatang kayu rotan di sebuah rumah di Jalan Jarak, kira-kira pukul 3.30 petang pada 6 September lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, rakan tertuduh, Kean Soon pula didakwa bersubahat dengan merakam kejadian itu menggunakan telefon bimbit yang didakwa menyebabkan kecede­raan ke atas seorang buruh, Meng Hong dengan sebatang rotan kayu di lokasi, waktu dan tarikh yang sama.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.