Ribuan berpindah, Gunung Agung di Bali hampir meletus


SEBAHAGIAN penduduk berehat selepas dipindahkan dari kaki Gunung Agung di daerah Klungkung, pusat peranginan Bali, Indonesia semalam. - AFP


DENPASAR, Bali – Beribu-ribu penduduk dipindahkan dari kampung-kampung yang terletak berhampiran sebuah gunung berapi yang aktif di Pulau Bali, kata beberapa pegawai semalam.

Amaran Tahap Tiga ataupun kedua tertinggi dikeluarkan untuk Gunung Agung di timur Bali, manakala pihak berkuasa meminta pelancong dan penduduk setempat supaya tidak mendaki atau berkhemah dalam radius 6 kilometer dari kawah gunung berapi itu.

“Aktiviti gunung berapi ini masih pada tahap tinggi dan terdapat petanda lahar naik ke permukaan yang menyebabkan gegaran.

“Sepatutnya tiada sebarang aktiviti orang awam dalam radius yang dinyatakan kerana dikhuatiri letusan akan berlaku,” kata jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Nasional, Sutopo Purwo Nugroho.

Bagaimanapun, penerbangan di lapangan terbang antarabangsa Bali beroperasi seperti biasa dan hanya sedikit gangguan berlaku kepada syarikat-syarikat pelancongan di pulau berkenaan.

Hampir 6,000 orang telah dipindahkan setakat ini dan ang­ka itu dijangka meningkat.

Sementara itu, beberapa penduduk di perkampungan yang terletak di kaki Gunung Agung berkata, mereka enggan meninggalkan kediaman dengan segera.

Beberapa penduduk lain dilihat berkumpul beramai-ramai untuk melihat gunung berapi berkenaan.

“Saya di sini bersama dengan suami saya. Kami perlu memberi makanan kepada haiwan ternakan,” kata seorang penduduk, Wayan Suarda.

Indonesia memiliki hampir 130 gunung berapi aktif iaitu le­bih banyak daripada mana-mana negara di dunia ini.

Siri letusan Gunung Agung antara tahun 1963 dan 1964 meng­akibatkan lebih 1,000 orang terbunuh, manakala ratusan yang lain cedera. – REUTERS