Pelaksanaan projek RTB di Kedah bantu kurangkan masalah banjir

23/09/2017 4:30pm


Ahmad Bashah


SUNGAI PETANI - Pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) melibatkan beberapa sungai di Kedah dijangka berupaya mengurangkan masalah banjir yang berlaku, terutamanya sewaktu berlakunya air pasang dan hujan lebat yang berterusan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, pelaksanaan RTB Sungai Muda sebagai contoh, yang menelan belanja RM1.4 bilion dan siap pada 2015, berjaya mengurangkan masalah banjir di beberapa kawasan di daerah Kuala Muda.

"Kawasan yang terlibat banjir di daerah Kuala Muda kali ini adalah di kawasan tanah rendah, namun mungkin ramai lagi yang akan terjejas di daerah ini jika projek RTB Sungai Muda belum siap.

"Saya turut dimaklumkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bahawa projek RTB Sungai Kedah, yang menelan kos RM641 juta yang meliputi tiga pakej akan siap menjelang 2019," katanya kepada pemberita selepas melawat 293 mangsa banjir daripada 65 keluarga yang berada di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kechil, Mukim Bukit Meriam, Kota Kuala Muda, di sini.

Menurutnya, pelaksanaan projek RTB Pendang yang meliputi tiga pakej dan menelan belanja RM350 juta pula dijadual bermula tahun depan. - Bernama