Temui ajal selepas tewas bertinju

PRADIP (kiri) menendang Lim sewaktu perlawanan AFC kelmarin.


SINGAPURA – Presiden Persekutuan Bina Badan dan Sukan Fizikal Dunia Singapura Pradip Subramaniam meninggal dunia di Hospital Besar Singapura kelmarin, demikian menurut Asia Fighting Championship (AFC).

Dalam satu kenyataan awal pagi semalam, AFC berkata Pradip meninggal dunia pada pukul 9 malam.

“Kami sentiasa berhubung dengan kakitangan perubatan di hospital bagi memastikan punca kematian,” kata AFC.

Sementara itu, Channel News Asia (CNA) melaporkan, Pradip, 32, meninggal dunia selepas menyertai perlawanan tinju menentang personaliti YouTube, Steven Lim di Marina Bay Sands awal malam kelmarin.

Menurut laporan itu, Steven, 41, memenangi perlawanan itu menerusi 'knockout' teknikal.

CNA turut melaporkan bahawa Pradip menggantikan bekas peserta Singapore Idol, penyanyi Sylvester Sim yang menarik diri daripada perlawanan disebabkan isu insurans.

Dalam catatan Facebooknya, Steven mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.

“Ini saat yang menyedihkan buat saya apabila mengetahui tentang berita yang memeranjatkan itu! Anda ajar kami semua tentang nilai keberanian dan kekuatan serta kepentingan gaya hidup sihat dan cergas. Salam takziah kepada anda, anda memang hero kami,” kata Steven.

Sementara itu, AFC berkata projek Pradip, AFC Physique Championships yang dijadualkan semalam telah dibatalkan sebagai tanda penghormatan.

Sementara itu, laporan awal perubatan yang dikeluarkan oleh Hospital Besar Singapura dan dipetik oleh AFC menunjukkan Pradip meninggal dunia akibat kegagalan pernafasan kerana serangan jantung.

“Laporan perubatan muktamad hanya akan dikeluarkan dalam masa antara 30 hingga 60 hari,” kata AFC dalam satu kenyataan semalam. – Bernama/ Agensi