Lahirkan artis seni muda berciri usahawan

MUHAMMAD AFIQ menggunakan bilik inkubator yang disediakan kepadanya untuk berkarya.


SELEPAS mendapat maklumat tentang program Usahawan Artis Seni Muda (YAE) yang dilaksanakan oleh Balai Seni Negara (BSN), Kuala Lumpur sekitar bulan April lalu, Muhammad Afiq Othman, 29, tidak berfikir panjang.

Dia terus menghantar permohonan kepada BSN bagi menyertai program tersebut walaupun ketika itu dia sudah menjalankan perniagaan dalam talian melibatkan perkhidmatan melukis dan menjual karya kaligrafi.

“Saya sudah mulakan perniagaan dalam talian berkaitan seni kaligrafi ini sejak dua tahun lalu.

“Walaupun perniagaan tersebut berjalan dengan baik, tetapi bagi saya, masih ada yang tidak kena memandangkan tidak pernah memiliki ilmu dalam perniagaan.

“Apabila mendapat tahu tentang program YAE anjuran BSN, saya rasa ia peluang terbaik untuk meningkatkan pengetahuan dalam bidang keusahawanan. Lebih-lebih lagi apabila ia dikhususkan untuk peserta berlatarbelakangkan seni,” katanya ketika ditemui di BSN baru-baru ini. BSN sebelum ini dikenali sebagai Balai Seni Visual Negara (BSVN).

Keyakinan


Antara peserta program YAE iaitu, dari kiri: Muhammad Farhan, Muhammad Afiq, Yeng Yeng, Teh Nadirah, Jessica dan Ahmad Fikril.


Muhammad Afiq yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Halus dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, dia bersyukur kerana terpilih menyertai program tersebut bersama enam lagi peserta lain yang kesemuanya merupakan artis seni muda dan masih belum mempunyai tapak kukuh untuk berkarya.

Katanya, walaupun baru tiga bulan menyertai program tersebut, dia sudah mendapat keyakinan untuk meningkatkan keupayaan dirinya dalam bidang keusahawanan terutama bagi mengembangkan perniagaan dalam taliannya ke tahap lebih tinggi pada masa depan.

Keyakinan tersebut turut disuarakan seorang lagi peserta, Ahmad Fikril Haniff Shahruddin, 24, dengan memberitahu, ilmu yang ditimba menerusi program YAE telah membuka mata para peserta untuk menjadikan bidang seni sebagai peluang perniagaan yang mempunyai masa depan cerah.

“Ramai artis seni khususnya golongan muda seperti kami sedar bahawa kami berdepan kesukaran untuk membina nama sekiranya bergantung kepada kemahiran berkarya semata-mata memandangkan terpaksa bersaing dengan artis yang telah menempa nama dalam industri ini.

“Oleh itu, cara lain yang boleh dilakukan untuk membina jenama sendiri adalah dengan melibatkan diri dalam bidang keusahawanan berkaitan kesenian,” katanya yang juga graduan UiTM dalam jurusan seni halus.

Menghurai lanjut mengenai program itu, penyelarasnya, Ahmad Safwan Hamsi berkata, YAE merupakan program pertama seumpamanya dilaksanakan oleh BSN dalam usaha melahirkan lebih ramai golongan artis seni muda yang berkeupayaan untuk terlibat dalam keusahawanan.

“Program YAE diperkenalkan bagi menyediakan platform kepada pelukis muda untuk melengkapkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk menjadi seorang usahawan seni yang berdaya saing dalam industri seni kreatif negara.

“Melalui program ini, peserta akan didedahkan dengan kemahiran keusahawanan oleh pihak-pihak berkaitan seperti perunding bertauliah, pelukis dan kurator jemputan, pengumpul karya seni serta pemilik galeri seni menerusi sesi perkongsian maklumat.

“Malah, mereka juga diberi pendedahan tentang industri seni negara bagi meningkatkan kreativiti dalam menghasilkan karya menarik yang mampu memenuhi kehendak pasaran, selain membina jaringan perniagaan dalam industri seni secara lebih tersusun,” katanya.

Pengisian


PESERTA-peserta program YAE menjalani sesi pembelajaran mengenai keusahawanan secara santai.


Selain Muhammad Afiq dan Ahmad Fikril, lima lagi peserta yang terpilih menyertai program YAE ialah Teh Nadirah Hamdan, Jessica Kuok Beng Lin, Doong Yeng Yeng, Muhammad Farhan Shah Mohd. Zaini dan Abdul Mohsin Aminuddin.

Jelas beliau, pihaknya menerima 30 permohonan daripada golongan artis seni muda yang berminat untuk menyertai program YAE.

Namun katanya, sebagai permulaan, BSN hanya memilih tujuh daripada mereka yang benar-benar layak berdasarkan pengalaman dan profil masing-masing.

Menurut Ahmad Safwan lagi, sepanjang tempoh enam bulan program itu berjalan, semua peserta akan diberi tunjuk ajar mengenai beberapa perkara penting berkaitan keusahawanan dengan kesemua perjalanan program akan dipantau sepenuhnya oleh BSN.

Antara pengisian model pembelajaran yang diterapkan kepada peserta termasuklah pelan perniagaan, pelan masa depan, pemasaran dan promosi, perancangan kewangan serta kemahiran berkomunikasi.

“Peserta juga akan diberi pendedahan luar dengan menyertai program jelajah R!UH dan Art Expo selain berpeluang menyertai pameran seni di Ruang Kreatif BSN. Ini bagi membolehkan mereka merasai sendiri pengalaman berkomunikasi dan menjalinkan perhubungan dengan pelbagai pihak.

“Melalui cara itu juga, keyakinan diri para peserta dapat dibina untuk meluaskan rangkaian perhubungan mereka terutama individu yang boleh menjadi prospek utama sama ada sebagai pelanggan atau rakan kongsi perniagaan mereka,” katanya.

Bagi memastikan program tersebut berjalan dengan baik, pihak BSN telah membina sebuah kawasan khas yang dikenali sebagai depot seni daripada kontena yang berfungsi sebagai inkubator bagi membolehkan mereka menghasilkan karya mengikut minat masing-masing sepanjang enam bulan program berlangsung.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah BSN, Datuk Dr. Mohammed Najib Ahmad Dawa berkata, program YAE dilaksanakan sebagai langkah pihaknya mengukuhkan peranan sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab mengembangkan dan mengangkat industri seni negara ke satu tahap yang lebih tinggi.

“BSN tidak mahu lagi dilihat sebagai sebuah badan yang hanya melaksanakan pameran-pameran seni sepanjang masa, tetapi menjadi sebuah badan yang dapat melahirkan ramai penggiat seni bercirikan keusahawanan dan mampu menjadikan perniagaan seni sebagai satu profesion.

“Justeru, program YAE ini diharapkan dapat menjadi pemacu kepada kecemerlangan seni visual yang merupakan platform penting dalam memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan penggiat seni muda tanah air terutama pada era yang serba mencabar ini,” katanya.