Alumni UUM tabur bakti di Tanjung Dawai

KEAKRABAN antara peserta dan komuniti setempat terserlah sepanjang program ini.


SEJAK dahulu lagi, universiti sentiasa dipandang tinggi oleh masyarakat kerana fungsinya sebagai gedung ilmu.

Ia tidak sekadar melahirkan para ilmuwan dalam bidang penyelidikan atau memenuhi sektor pekerjaan tetapi apa yang lebih penting ialah melahirkan insan yang berguna.

Setiap tahun, ribuan penuntut dari seluruh negara mendaftar memasuki universiti dengan penuh pengharapan.

Di sinilah mereka mencipta peluang, membina diri dan mendalami ilmu pengetahuan sama ada di bilik kuliah atau pelbagai program serta aktiviti yang disediakan.

Pengharapan itu bertukar menjadi misi kejayaan apabila penuntut yang telah bekerjaya menyumbang semula apa yang dipelajari demi kemajuan negara dan masyarakat.

Mengambil falsafah itu, sekumpulan pelajar dari Kelab Alumni Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan program Free Market Tanjung Dawai di Tanjung Dawai, Yan, Kedah baru-baru ini.

Pengarah program, Sarida Hassim berkata, acara sehari itu bertujuan mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga UUM di samping membantu mereka yang memerlukan bantuan.

Katanya, terdapat dua aktiviti yang dijalankan iaitu pasar terbuka pada sebelah pagi disusuli dengan sumbangan pek makanan dan duit zakat pada sebelah petang.

“Lokasi ini dipilih kerana majoriti penduduk terdiri daripada nelayan yang bergantung sepenuhnya kepada hasil lautan.

“Menerusi sumbangan yang diberikan, sedikit-sebanyak ia dapat meringankan beban yang ditanggung mereka terutamanya dalam situasi ekonomi yang serba mencabar pada masa ini,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Mencari rezeki


PROGRAM Free Market Tanjung Dawai mendapat sambutan daripada penduduk setempat di Tanjung Dawai, Yan, Kedah.


Tambah Sarida, sebanyak empat buah kampung dipilih dalam program tersebut iaitu Kampung Kepala Tanjung, Kampung Nelayan, Kampung Bagan Belat dan Kampung Bagan Asam.

“Semua dana dan pakaian terpakai ini disumbangkan oleh para peserta, ahli keluarga dan rakan-rakan.

“Kutipan dilakukan dalam tempoh sebulan menerusi hebahan di laman sosial seperti Facebook dan WhatsApp,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Kelab Alumni MBA, Abdul Ghafur Hanafi, 55, berkata, program itu secara tidak langsung membolehkan peserta mengenali masyarakat setempat dengan lebih dekat.

Ujarnya, tidak ramai yang mengetahui kehidupan dan cabaran yang dilalui golongan yang sanggup meredah ombak serta lautan demi mencari rezeki.

“Peranan mereka sangat besar dalam memenuhi keperluan sektor makanan negara khususnya bagi industri perikanan.

“Tanpa kelibat mereka di lautan, mungkin sukar untuk kita menikmati hasil laut seperti hari ini,” katanya.

Jelasnya, menerusi program itu, secara tidak langsung menunjukkan komitmen peserta untuk melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan.

“Ini merupakan sumbangan kecil peserta untuk memberikan apa yang termampu kepada komuniti dalam memenuhi tanggungjawab sosial.

“Biarpun sumbangan itu tampak kecil, ia sangat berharga bagi sebahagian daripada mereka terutamanya yang bergelar warga emas, anak-anak yatim dan ibu tunggal,” katanya.

Daif


PROGRAM yang dijalankan ini membolehkan peserta mengenali penduduk setempat dan melakukan kerja-kerja kebajikan.


Seorang peserta, Nurul Ashikin Shafie, 30, menganggap, program itu sangat menyentuh hati apabila dia sendiri turun padang melihat kehidupan golongan nelayan di sana.

Katanya, hatinya sebaik apabila melawat beberapa kediaman penduduk yang agak daif dan dibina rapat umpama penempatan setinggan.

“Rezeki mereka tidak menentu dan lazimnya bergantung kepada cuaca serta lautan. Jika cuaca baik, rezeki mereka di laut tetapi jika sebaliknya, mereka sekadar melakukan kerja-kerja kampung.

“Kebanyakan isteri mereka pula rata-ratanya tidak bekerja dan mencari rezeki dengan mengambil upah mengopek ikan bilis,” katanya.

Pelajar Doktor Falsafah (Pengurusan Teknologi, Operasi Dan Logistik) itu memberitahu, hatinya tersentuh setiap kali melihat wajah-wajah ceria penerima bantuan pada program itu.

“Saya sempat bermesra dengan mereka dan apa yang saya tahu, kehidupan mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Sebaik sahaja buka mata, mereka fikir hari ini nak kerja apa, nak bagi anak isteri makan apa?

Berbeza dengan kita, buka sahaja mata, kerja sudah ada dan tidak perlu fikir apa-apa, hujung bulan dapat gaji.

“Jadi banyak bersyukur kerana kalau kita rasa kita susah, ada orang lain yang lebih susah. Saya belajar sesuatu daripada kesempitan hidup masyarakat di sini,” katanya.