Josiah Hogan ‘melepas’ bayaran RM280,700


JOSIAH akan terus mencari jalan untuk ke Hollywood suatu masa nanti.


HASRAT pelakon Josiah Hogan mahu terjun ke dunia perfileman di Hollywood hanya tinggal harapan kosong. Bahkan, dia juga harus berputih mata apabila habuan yang dijanjikan sebanyak AS$67,000 (RM280,700) hilang begitu sahaja gara-gara digugurkan daripada sebuah filem produksi Hollywood sekitar Disember tahun lalu.

Josiah atau nama sebenarnya, Mohamad Musleh, 31, menjelaskan, dia sudah pun melepasi tiga saringan uji bakat dan menandatangani kontrak, namun perjanjian tersebut ditamatkan atas alasan yang tidak masuk akal iaitu bergurau perkara yang tidak sepatutnya.

Dakwanya, dia sepatutnya melakonkan watak makhluk elf (orang bunian) dalam sebuah naskhah seperti filem Lord of The Ring. Biarpun digugurkan, namun insiden tersebut tidak mematahkan semangat Josiah untuk cuba menembusi pasaran Hollywood.

Dalam perkembangan lain, Josiah berbangga dapat bekerjasama dengan pelakon hebat Wan Hanafi Su dan Raya Ilya dalam filem arahan sutradara Mahadi J Murat berjudul LuQman yang bakal menerjah pawagam seluruh negara bermula 28 September depan.

KOSMO!: Apa perasaan Josiah dapat berlakon bersama dengan pelakon hebat seperti Wan Hanafi Su dalam filem LuQman?

Josiah Hogan: Saya banyak belajar daripadanya. Saya tertarik dengan idea filem ini yang membawa mesej mengenai kepentingan jati diri dan hal itu sangat penting kerana generasi hari ini melebih-lebihkan budaya luar berbanding budaya sendiri. Berlakon di bawah arahan Mahadi J Murat juga merupakan pengalaman baharu buat diri saya sebagai seorang pelakon.

Bagaimanakah dengan perkembangan bidang lakonan anda yang lain?

Banyak filem lakonan saya yang masih menunggu tarikh tayangan di pawagam. Antaranya ialah Surf This Love, KL Vampire dan KL Special Force. Ada sebuah filem lakonan saya yang judulnya terpaksa ditukar kerana serupa dengan tajuk sebuah filem Hong Kong, Paradox.

Dalam filem tersebut saya memegang watak utama. Saya juga akan terlibat dengan sebuah projek drama adaptasi dari Turki berjudul Rüzgarin Kalbi (Degupan Jantung).

Baiklah, bagaimana dengan perancangan anda untuk membina nama di Hollywood?

Sekitar Disember tahun lalu, saya telah terlepas sebuah tawaran berlakon sebuah filem di Hollywood.

Sebenarnya, nama saya digugurkan kerana produksi berkenaan memberi alasan sikap saya yang dilihat cuba bergurau secara keterlaluan dalam satu kiriman video kepada mereka.

Ketika itu, saya diarahkan membuat video sebagai pengganti kerana tidak dapat hadir ke acara memperkenalkan pelakon di sana. Saya tidak boleh ke mana-mana kerana terikat dengan penggambaran semula beberapa babak filem KL Vampires di tanah air.

Bagaimanakah anda mendapat tawaran berlakon dalam filem tersebut?

Kami berhubung secara online. Saya sudah pun melepasi tiga saringan uji bakat dan sudah menandatangani kontrak, namun ia ditamatkan atas alasan yang tidak masuk akal. Dalam video uji bakat tersebut, saya hanya bergurau biasa namun ia dianggap sensitif oleh pihak mereka. Saya mengutarakan pendapat untuk ingin lebih mengenali mereka, namun terus disingkirkan daripada filem tersebut.

Jadi, adakah anda serik atau tawar hati untuk mencuba nasib di Hollywood?

Tidak sama sekali. Ini semua cabaran untuk saya terus membina nama. Memang saya kecewa, namun ia tidak mematahkan semangat untuk mencari peluang ke sana. Kalau ingin mencuba nasib di Hollywood, banyak lagi cabaran yang perlu dihadapi. Saya akan terus mencuba dan tidak akan berputus asa. Saya sepatutnya dibayar AS$67,000 (sekitar RM280,700) kalau terlibat dalam filem tersebut, namun saya anggap itu bukan dan belum masa untuk saya mencuba nasib di sana.