Empat buruh binaan didakwa sembunyi maklumat Abu Sayyaf

25/09/2017 5:57pm


Gambar hiasan.


KAJANG - Empat pekerja buruh binaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan pengganas Abu Sayyaf dan menyembunyikan maklumat berkaitan kumpulan pengganas militan berkenaan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh iaitu Hajar Abdul Mubin, 25, dan tiga pengikutnya, Ahmad Omar, 52, Jaffar Ahmad, 26 dan Abdul Syamir Dabilin, 25; dihadapan Hakim Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, Hajar yang merupakan perancang utama didakwa sebagai ahli pengganas Abu Sayyaf di ZA 2-14 Lorong Pangsa Baiduri 2, Taman Desa Baiduri, Cheras antara tahun 2010 dan 30 Ogos 2017.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut seksyen 130 KA Kanun Keseksaan (akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan denda jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi tiga tertuduh lagi iaitu Ahmad Omar, 52; Jaffar Ahmad, 26; dan warga Filipina, Abdul Syamir Dabilin, 25; didakwa dengan sengaja menyembunyikan sebarang maklumat berhubung kesalahan yang mana mereka terikat disisi undang-undang untuk memberi maklumat itu di MAG-03- Persiaran Pangsa Baiduri, Taman Desa Baiduri, Cheras,  antara 2008 hingga 30 Ogos 2017.

Bagi kesalahan itu ketiga-tiga tertuduh dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 130 M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding semalam tiada jaminan ditawarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria yang mewakili pendakwaan kepada kesemua tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Oktober depan untuk sebutan semula kes untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam. - K! ONLINE