Polis lumpuhkan sindiket proses, edar dadah terbesar Sarawak

25/09/2017 6:39pm


Mohd. Dzuraidi (dua dari kiri) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Stutong, Kuching 21 September lalu.


KUCHING - Polis berjaya melumpuhkan satu sindiket memproses dan mengedar dadah di Sarawak selepas menangkap dua lelaki tempatan di sebuah rumah di Jalan Stutong di sini pada 21 September lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Pahlawan Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, dalam serbuan pada pukul 1.30 petang itu, pasukan polis turut merampas dadah disyaki jenis syabu seberat 11.6 kilogram (kg) dan 993 pil ekstasi dianggarkan bernilai RM3.4 juta.

Menurutnya, kedua-dua suspek berusia 27 tahun itu diberkas oleh pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.

"Siasatan awal mendapati sindiket itu bergiat aktif memproses dan mengedar dadah di sekitar negeri ini sejak sembilan bulan lalu.

"Dengan kejayaan tangkapan dan rampasan ini, kita percaya telah melumpuhkan sindiket pengedaran dadah jenis syabu terbesar di Sarawak setakat ini," katanya ketika sidang akhbar di Bilik Media IPK Sarawak di sini hari ini. - K! ONLINE