Bomba perlu masa sebulan periksa Maahad Tahfiz berdaftar di seluruh negara

25/09/2017 4:44pm


Wan Mohd Nor ketika majlis perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Ringlet hari ini.


CAMERON HIGHLANDS - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia memerlukan masa sekurang-kurangnya sebulan bagi membuat pemeriksaan dan mengesan permasalahan semua Maahad Tahfiz berdaftar di seluruh negara.

Tanpa menyatakan jumlah sebenar Maahad Tahfiz berdaftar, Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, jabatan berkenaan turut memberi maklum balas kepada kabinet dari semasa ke semasa mengenai perkara berkaitan.

Pada masa sama, katanya, pihak jabatan menghadapi kesukaran mendapatkan maklumat dalam mengesan Maahad Tahfiz tidak berdaftar di seluruh negara bagi pemeriksaan keselamatan bangunan.

"Oleh itu, kita minta semua pihak termasuk Jabatan Agama Islam supaya menyalurkan maklumat berkaitan Maahad Tahfiz yang tidak berdaftar bagi mengelak insiden di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah daripada berulang.

Kita akui memang terdapat kesukaran. Ini kerana senarai maahad yang tidak berdaftar tiada dalan rekod Jabatan Agama Islam dan sememangnya kita memerlukan masa," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Ringlet.

Majlis itu disempurnakan Exco Perumahan dan Perbandaran negeri Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di sini hari ini. - Bernama