Natasha Hudson masih mahu berlakon


NATASHA hadir ke FFM29 baru-baru ini kerana memberi sokongan kepada adiknya, Tania Hudson.


SEJAK mengenakan niqab sekitar penghujung tahun lalu, kelibat pelakon tinggi lampai, Natasha Hudson jarang kelihatan di layar kaca mahupun pada majlis hiburan.

Ibu kepada tiga cahaya mata iaitu Nessa Helena, 9, Naeema Kalila, 4, dan Faatimah, 2, itu lebih selesa menghabiskan masa bersama keluarga selain memenuhi undangan bagi majlis-majlis ilmu agama dan juga motivasi.

Namun, pada Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) yang berlangsung di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini, pemilik nama lengkap, Natasha Liana Mohd. Redzuan Hudson itu dilihat hadir memenuhi undangan bersama adiknya, pelakon Tania Hudson.

Natasha, 35, ketika ditemui berkata, kehadirannya pada malam itu bertujuan memberi semangat kepada Tania yang dicalonkan dalam kategori Pelakon Harapan Wanita Terbaik menerusi filem Abang Long Fadhil 2.

KOSMO!: Apa khabar Natasha? Agak lama rasanya tidak bertemu dengan anda dalam acara-acara hiburan. Masih memenuhi undangan pihak penganjur?

NATASHA: Khabar baik. Benar, saya sudah jarang menghadiri mana-mana majlis hiburan atau anugerah. Hal ini kerana saya sedikit sibuk dengan urusan keluarga dan juga beberapa hal berkaitan dengan perniagaan.

Namun jika dilayangkan undangan, insya-Allah saya akan hadir. Boleh juga berjumpa dengan sahabat lama dan melihat perkembangan industri filem pada masa sekarang.

Kebetulan pada malam ini, adik saya dicalonkan menerusi FFM29. Jadi, saya berharap agar kehadiran saya dapat memberi semangat kepadanya untuk terus maju dalam karier.

Pada FFM20, anda menerima anugerah Pelakon Wanita Harapan menerusi filem Chermin. Kini, Tania pula dicalonkan dalam kategori yang sama. Sebagai seorang kakak, apakah perasaan anda apabila melihat Tania kini mewarisi legasi anda sebagai seorang anak seni?

Sejujurnya, saya berasa bangga dan gembira untuknya. Dulu, saya yang melalui karpet merah bagi majlis hiburan, kini segalanya telah berpindah kepadanya. Saya cuba memberi sokongan dan mendoakan yang terbaik untuk adik saya.

Selain perniagaan, apakah hala tuju karier anda buat masa ini?

Saya kerap dijemput untuk menghadiri majlis-majlis motivasi. Saya cuba gunakan pengalaman dan cerita saya untuk memberi inspirasi kepada orang ramai, khususnya golongan muda.

Adakah anda benar-benar menutup pintu hati terhadap bidang lakonan?

Saya tidak pernah mengatakan mahu berhenti berlakon sepenuhnya. Saya sedikit sibuk dengan komitmen dan keluarga.

Sejujurnya, saya mahu terlibat dalam sebuah produksi yang melibatkan jalan cerita Islamik yang selari dengan imej dan jiwa saya kini.

Adakah anda akan membenarkan ketiga-tiga puteri kesayangan jika mereka mahu terlibat dalam bidang seni?

Saya tidak menggalakkan anak-anak untuk masuk ke dunia seni. Jika terlibat dalam rancangan berbentuk ilmiah atau Islamik, mungkin tidak mengapa.

Sejak akhir-akhir ini, kita dapat melihat ramai selebriti wanita berhijab yang dikecam akibat kurangnya istiqamah dalam diri. Sebagai selebriti yang berniqab, bagaimanakah anda melihat situasi ini?

Pada pendapat saya, iman itu ada naik dan turunnya. Sebagai seorang Islam, kita perlu konsisten dengan apa yang kita mahukan. Tahan nafsu daripada melakukan perkara-perkara buruk dan berkawanlah dengan orang-orang yang baik.

Janganlah berubah semata-mata kerana bisnes, trend atau sengaja mengikut orang lain. Dalami Islam dan sejarahnya terlebih dahulu sebelum kita mengambil keputusan untuk istiqamah dan berubah ke tahap seterusnya.