Fesyen kontemporari aksesori buluh

TERDAPAT 12 item aksesori buluh yang dihasilkan oleh Hadiana.


PENGHASILAN aksesori daripada buluh yang unik dan menarik itu mencuri perhatian Nur Hidayah Mohd. Pamuji, 22.

Dia turut membelek cermin mata yang bingkainya daripada buluh sebelum dipakainya.

Ternyata dia berpuas hati dengan aksesori tersebut yang berkualiti tinggi.

“Saya dapati pelbagai produk diperbuat daripada buluh seperti fabrik dan alatan muzik.

“Paling menarik perhatian ialah menyaksikan pertunjukan fesyen aksesori buluh kerana saya tidak pernah melihatnya sebelum ini.

“Aksesori itu sangat cantik dan versatil malah memberikan kelainan apabila digayakan oleh para model,” ujar pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sains Perhutanan, Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia ketika ditemui pada sambutan Hari Buluh Sedunia Malaysia 2017 (WBD) di pusat beli-belah IOI City Mall, Putrajaya baru-baru ini.

Anak bongsu daripada tujuh beradik itu berkata, melihatkan pelbagai produk yang berasaskan buluh membuka matanya tentang industri buluh di negara ini.

WBD dianjurkan oleh Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) pada 15 hingga 17 September lalu.

Sambutan tersebut diadakan setiap tahun oleh 26 buah negara yang bernaung di bawah Organisasi Buluh Dunia (WBO).

Dalam pada itu, pereka aksesori buluh, Hadiana Hadirin, 31, memanjatkan kesyukuran kepada Allah selain mengucapkan terima kasih atas peluang yang diberikan oleh MTIB kerana memberikannya peluang untuk menyertai program tersebut.

“Pihak MTIB sanggup memberi peluang kepada saya yang merupakan pereka baharu dalam bidang ini. Platform ini mampu mengasah bakat dalam menghasilkan produk berasakan buluh.

“Saya memikirkan idea yang ingin diketengahkan dan akhirnya memutuskan untuk menghasilkan aksesori daripada buluh,” cerita ibu kepada seorang cahaya mata itu.

Hadiana yang menggunakan jenama DH by Diana Hadirin itu menghasilkan 12 koleksi aksesori seperti rantai leher, jam, anting-anting, beg, gelang dan kaca mata.

“Saya mengambil masa selama sebulan untuk menghasilkan kesemua aksesori ini.

“Aksesori ini boleh dipakai pada semua majlis tidak kira formal atau kasual mengikut cita rasa dan kreativiti masing-masing,” ujar anak kelahiran Tawau, Sabah itu.

Bagi menghasilkan aksesori tersebut, Hadiana menggunakan buluh jenis veneer dan pemegang beg tangan pula daripada buluh berkualiti tinggi yang diimport dari China.

Penampilan pertama itu ternyata memberi kepuasan kepada Hadiana kerana sebelum ini dia hanya terlibat dalam penghasilan rekaan baju pengantin.

Sambutan


MODEL-MODEL ini menggayakan aksesori yang diperbuat daripada buluh.


Ternyata sambutan peminat fesyen tidak mengecewakan apabila dia menerima banyak tempahan.

Mengulas mengenai elemen rekaan yang diterapkan ke dalam aksesori tersebut, Hadiana berkata, dia menggunakan corak geometri kerana ia menjadi pilihan pengguna pada masa kini.

“Saya memberikan sentuhan urban dan elegan dengan menerapkan elemen flora atau fauna.

“Paling penting, ia mudah digayakan dan dipakai tanpa mengira latar belakang serta umur pengguna,” terangnya yang suka melancong pada masa lapang.

Menurut Hadiana, buluh sangat istimewa kerana ia tahan lebih lama tidak seperti kayu yang mudah reput.

Dek kerana ketahanannya itu, buluh turut digunakan dalam industri pembinaan.

Justeru, produk berasaskan buluh sangat berbaloi untuk dimiliki kerana daya tahannya yang tinggi.

“Pada awalnya, saya berdepan masalah untuk mengeluarkan idea apatah lagi masih baru dalam penghasilan aksesori.

“Saya perlu fikir apa lagi yang boleh dilakukan dengan menggunakan buluh,” tutur anak keenam daripada lapan beradik itu.

Hadiana mereka aksesori itu menggunakan komputer dan membuat potongan laser untuk mendapatkan kepingan buluh seperti diingini.

Dia turut dibantu oleh artisan buluh dalam menyiapkan produk tersebut.

Aksesori tersebut dijual serendah RM15 hingga RM45 mengikut jenis dan saiz.

Pada masa akan datang, Hadiana bercadang untuk menghasil lebih banyak rekaan aksesori dan baju kasual daripada pelbagai bahan.