Cara mudah penghuni apartmen berkebun

Rak dekoponix sesuai untuk rumah yang bersaiz kecil.


berada pada tahun akhir, Mohd. Hafiz Talib, 26, mula memikirkan satu projek berkaitan produk industri bagi melengkapkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Industri, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pada suatu hari, dia terbaca satu artikel berkaitan pertanian bandar, sekali gus memberikan idea untuk menghasilkan produk bagi membolehkan penduduk bandar bercucuk tanam dengan mudah.

“Pada tahun 2015, saya ditugaskan untuk mereka bentuk satu produk industri.

“Ketika memikirkan produk yang hendak dihasilkan, saya terbaca satu artikel mengenai pertanian bandar. Sejak itu, timbul satu idea untuk saya menghasilkan produk dekoponix ini,” katanya.

Dia kemudiannya melakukan beberapa kajian termasuk kekangan yang menyukarkan penduduk di bandar untuk bercucuk tanam.

Menurutnya, hampir 70 peratus penduduk bandar tinggal di pangsapuri dan apartmen sehingga menyukarkan mereka bercucuk tanam kerana ketiadaan tanah.

“Saya memikirkan satu alternatif penanaman yang hanya memerlukan ruang kecil.

“Saya melihat produk sedia ada termasuklah teknik tanaman hidroponik. Teknik itu memerlukan ruangan besar dan kurang praktikal bagi mereka yang mendiami rumah pangsapuri ataupun apartmen,” jelasnya yang sedang menyambung pengajian di peringkat sarjana di UPM.

Menurutnya, dekoponix adalah satu rak untuk menanam sayur-sayuran menggunakan kaedah hidroponik.

Berkongsi idea


Penghasilan produk dekoponix membolehkan pasukan penyelidik memenangi beberapa anugerah inovasi.


Dia kemudiannya membentangkan cadangan itu kepada pensyarah merangkap penyelia projek akhir iaitu Prof. Dr. Khairul Aidil Azlin Abd. Rahman.

Cadangan yang dikemukakan itu diterima baik oleh pensyarahnya. Kedua-dua mereka bersama seorang lagi penyelidik iaitu Dr. Mohd. Shahrizal Dolah berkongsi idea untuk menghasilkan produk tersebut.

Dalam pada itu, Khairul Aidil Azlin berkata, projek itu adalah sesuatu yang amat baik dan berguna kepada masyarakat.

“Berdasarkan masalah bercucuk tanam yang dihadapi oleh penduduk di bandar, Mohd. Hafiz berjaya mencari jalan penyelesaian.

“Kami juga melihat permasalahan itu dari segi keselamatan makanan yang dihadapi oleh kebanyakan penduduk bandar.

“Sayur yang dijual di pasaran juga dikhuatiri tidak terkawal dari segi penggunaan racun dan tidak bersifat organik,” katanya.

Kaedah dekoponix tidak memerlukan penjagaan rapi tetapi dapat menghasilkan tanaman yang bersih dan organik.

Teknologi yang digunakan untuk menghasilkan produk itu menggunakan sistem modular yang mudah dipasang dan dileraikan oleh pengguna.

“Memasangnya amat mudah dan hanya memerlukan masa antara lima hingga lapan minit. Ia juga tidak menggunakan skru.

“Produk ini juga didatangkan dalam bentuk kotak untuk mudah disimpan jika tidak digunakan,” jelas Khairul Aidil Azlin.

Menurutnya lagi, dengan berat kira-kira 2.5 kilogram, ia mudah dibawa untuk dipasang manakala ketinggian selepas dipasang adalah 1.5 meter (m) dan lebar 0.4m untuk rak empat tingkat.

Bilangan rak juga boleh ditambah dari semasa ke semasa.

Produk itu mudah diselenggarakan dan airnya berkitar berterusan yang hanya perlu ditambah sekali dalam masa dua minggu.

Ia menggunakan sistem deep flow atau alir tenggelam iaitu teknik hidroponik dengan air sentiasa berputar dan akar tanaman tenggelam dalam air yang mengalir di dalam rak.

Set dekoponix disertakan kit keperluan untuk penanaman iaitu kapas, biji benih dan media hidroponik.

Antara jenis tanaman yang sesuai untuk ditanam ialah sawi, salad, kangkung, bayam merah dan pegaga.

Selain itu, dekoponix bukan sahaja boleh ditempatkan di ruang terhad tetapi mudah dialihkan kerana memiliki roda.

Khairul Aidil Azlin memberitahu, ketika melakukan penyelidikan untuk menghasilkan produk itu, mereka turut memikirkan tentang kelestarian alam sekitar pada masa hadapan.

Kitar semula


Rak dekoponix mudah untuk dipasang dan ditanggalkan.


“Bahan yang digunakan untuk menghasilkan produk ini ialah polipropilena yang boleh dikitar semula.

“Tujuan kami menggunakan bahan ini ialah ia mudah untuk dilupus jika tidak digunakan kelak,” jelasnya.

Tambahnya, pasukan penyelidik turut mereka cipta beberapa prototaip rak dekoponix.

Rekaan prototaip itu dibawa ketika pameran inovasi yang berlangsung dan dari situ, mereka mendapat maklum balas daripada orang ramai untuk penambahbaikan sebelum dikomersialkan.

Produk itu telah memenangi beberapa anugerah termasuk pingat emas pada Ekspo Teknologi Malaysia 2017, Anugerah Harta Intelek Negara 2016 dan pemenang Program Skim Usahawan Permulaan Bumiputera.

Mereka mengambil masa sekitar satu tahun untuk menghasilkan rak dekoponix yang berkualiti dan mesra pengguna.

Setelah mendapat hak paten, rak dekoponix itu telah berada di pasaran.

Harga yang ditawarkan untuk satu set rak dekoponix adalah RM700 .