SchAwal, persediaan masa hadapan


Awal dan Scha cukup sedar bahawa dunia hiburan ada pasang surut yang tidak menentu. mereka yakin pengurusan kewangan dan perniagaan sahaja akan menjamin kestabilan masa depan.


SEJAK kebelakangan ini, trend selebriti menjadikan dunia perniagaan sebagai tambahan pendapatan dalam kerjaya mereka bukanlah suatu perkara asing lagi. Strategi sama turut dilakukan oleh pasangan suami isteri popular, Awal Ashaari dan Scha Alyahya.

Menjalankan perniagaan dalam bidang fesyen bermula dengan sebuah kiosk kecil diberi nama Schapoholic, sehingga butik berkonsepkan vendor iaitu Garderobe, kini pasangan itu terus melebarkan sayap mereka dengan pembukaan butik SchAwal.

Terletak di Jakel Square, Kuala Lumpur sebagai lokasi pertama butik SchaAwal, Awal yang ditemui selepas majlis pelancaran butik berkenaan memberitahu, ia membuktikan keseriusan mereka untuk terus berkecimpung dalam perniagaan.

“Sebelum ini kami pernah menjalankan perniagaan vendor dengan pembukaan butik Garderobe. Bagaimanapun, ramai peminat datang ke situ hanya membeli pakaian dengan jenama SchAwal sahaja.

“Hal ini membuatkan seramai 77 vendor lain berasa seperti anak tiri kerana jualan yang tidak memberangsangkan. Kami tidak mahu menutup periuk nasi mereka, jadi dari situ muncul idea untuk membuka butik SchAwal dan fokus menjual barangan jenama kami sahaja,” kongsinya Awal, sekali gus memberitahu, butik Garderobe telah ditutup sejak bulan Mei lalu.

Bercerita lanjut tentang koleksi pakaian Scha, Awal dan anaknya, Lara Alana yang dijual di butik berkenaan bermula dari harga RM89 sehingga RM289 tersebut, sengaja kemudian Awal dan Scha ditanya tentang fokus masa depan mereka selepas ini.

Optimis dengan pendirian yang diambil, Scha yang setia berada di sisi Awal memberitahu, biarpun impian untuk mempunyai butik sendiri tercapai, namun dia tetap ingin menyeimbangkan antara dunia hiburan dan perniagaan.

“Berada dalam dunia hiburan adalah suatu perkara yang tidak boleh dijangka. Saya dan suami bukanlah kebal sehingga boleh beri jaminan akan diperlukan sampai bila-bila dalam industri ini.

“Justeru, perniagaan adalah persediaan untuk masa hadapan sekiranya kami tidak dipanggil untuk menjadi pengacara atau berlakon lagi,” ujar Scha tenang.

Bersetuju dengan pandangan tersebut, sebagai ketua keluarga, Awal perlu mencari pendapatan lebih untuk memberikan yang terbaik buat isteri dan anak.

“Melihatkan situasi dalam industri, cuma beberapa selebriti sahaja yang kekal diminati dari dahulu hingga kini.

“Saya mengambil contoh Linda Onn. Ketika menjadi penyampai radio nombor satu negara, dia menjalankan perniagaan lain bagi membantunya pada masa hadapan. Perkara sama juga saya dan isteri diaplikasikan kerana kami harus akur dengan kehendak industri.

“Sebagai ketua keluarga, saya perlu berikan yang terbaik untuk menyara keluarga dan caranya adalah melalui perniagaan. Berlakon atau mengacara memerlukan tawaran tetapi perniagaan pula bergantung pada sejauh mana usaha kami sendiri,” terangnya panjang lebar.

Strategi

Selain pelancaran butik di lokasi baharu, pasangan selebriti itu turut memperkenalkan rangkaian wangian baharu mereka, Noir by Awal Ashaari dan Silver Rose by Scha Alyahya.

Teruja dengan wangian yang menjalani proses pembuatan di Eropah, kata Awal, pelancaran rangkaian terbaharu tersebut sekali gus menghentikan penghasilan dua wangian terdahulu mereka iaitu Bleu by Awal dan Maroon by Scha.

“Alhamdulillah, percubaan kami mengeluarkan wangian sendiri mendapat sambutan apabila minyak wangi Scha sudah habis dijual dan wangian saya pula hanya berbaki 1,500 botol.

“Melihat sambutan yang agak baik, rasanya sudah tiba masa untuk kami melancarkan wangian kedua.

“Strategi ini sengaja kami ambil kerana tidak mahu memberi peluang kepada pihak tidak bertanggungjawab meniru hak cipta wangian kami,” ujarnya menutup bicara.