Teheran kaya dengan tempat sejarah


ISTANA Golestan merupakan bangunan sejarah paling terkenal di Iran.


KALI pertama saya menjejakkan kaki di Teheran, Iran ialah semasa berusia sembilan tahun. Ketika itu, saya menaiki pesawat penerbangan Pakistan International Airline dari Islamabad, Pakistan ke Britain.

Pesawat itu berhenti di Teheran iaitu ibu negara Iran selama beberapa jam sebelum meneruskan perjalanan.

Satu-satunya pemandangan yang dapat saya lihat hanyalah menerusi tingkap pesawat.

Beberapa bulan selepas itu, kerajaan beraja Iran, Shah Mohammad Reza Pahlavi telah disingkirkan oleh Ayatollah Ruhollah Khomeini menerusi satu revolusi.

Selepas beberapa tahun menunggu, baru-baru ini saya dijemput ke Iran untuk menghadiri satu seminar.

Saya mula berfikir, kunjungan ini akan menjadi lebih bernilai jika saya dapat melawat beberapa tempat menarik di Teheran.

Bagaimanapun, saya mula terfikir mengenai aspek keselamatan berdasarkan cerita-cerita yang digambarkan dalam media massa.

Namun, saya tetap mahu pergi. Berbekalkan sebuah beg sandang, saya menaiki penerbangan Oman Air ke Teheran.

Sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini, persepsi saya terhadap Iran dan masyarakatnya berubah sama sekali.

Berbeza dengan apa yang sering digambarkan oleh media, Iran bukannya sebuah negara yang diselubungi chador (tudung bertutup dipakai oleh wanita Iran).

Sebagai seorang yang telah menjelajah sebahagian negara di dunia, saya dengan berani mengatakan bahawa Iran merupakan salah sebuah negara terbaik yang pernah dilawati setakat ini.

Pertama sekali, saya sangat terkejut kerana tidak ditanya mengenai agama atau mazhab saya oleh pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini.

Di luar lapangan terbang, seorang pemandu yang sangat bertenaga dan tampan menunggu sambil memegang tag nama kami.

Kami dibawa ke hotel sebelum diberi sambutan ketibaan yang sangat menarik oleh kakitangan mereka.

Teheran adalah sebuah bandar moden dan terkenal serta berkembang pesat. Ia sangat bersih dan sukar untuk melihat sampah sarap di atas jalan.

Pada tengah malam setiap hari, para pekerja akan membersihkan jalan-jalan untuk digunakan pada waktu pagi.

Kerajaan kita boleh belajar satu atau dua perkara dari Iran mengenai pembuangan sampah dan kebersihan.

Pemandu di Teheran juga mengikut peraturan. Satu lorong di jalan raya disediakan untuk bas iaitu pengangkutan murah dan paling ideal di Teheran.

Anda juga boleh bergerak ke destinasi dituju menggunakan kereta api bawah tanah yang cepat dan murah.

Makanan


Keindahan seni bina dalaman Masjid Nasir ol Molk.


Kereta api itu dilengkapi pendingin hawa dan setanding dengan sistem kereta api bawah tanah moden di dunia.

Panduan dan peta perjalanan kereta api boleh dimuat turun menerusi internet. Navigasi juga boleh diperoleh dalam bahasa Inggeris

Ramai individu menulis tentang Iran tetapi tidak ada yang bercerita mengenai makanan. Mengulas mengenai makanan, saya jatuh cinta dengan masakan Iran.

Saya juga sempat belajar beberapa resipi yang tidak menggunakan rempah dan cili.

Sarapan pagi di Iran berkisar kepada hidangan keju, madu, buah kurma, zaitun susu, telur, roti dan minuman teh serta kopi.

Kebanyakan masyarakat Iran adalah penggemar daging kambing. Anda pasti kagum melihat kepakaran mereka membuat kebab.

Setiap kali mengingati kebab kobiden, saya pasti akan kecur liur. Tidak kurang enak adalah kebab joojeh, kebab i-barg dan keban jigar.

Makanan tidak mengandungi daging yang menjadi kegemaran saya adalah baghali pulao dan ghormeh sabzi.

Pencuci mulut terkenal di Iran adalah doogh iaitu lassi versi negara tersebut. Anda boleh menikmati kesemua sajian di restoran dan kafe tepi jalan di sekitar Teheran. Ini kerana kafe dan restoran tepi jalan itu sangat bersih.

Ibu kota Tehrah juga menawarkan pelbagai tempat menarik untuk dilawati. Tempoh lapan hari saya di sana seakan-akan tidak mencukupi.

Terdapat banyak tempat bersejarah seperti Istana Golestan sewaktu Dinasti Qajar dan Istana Saadabad ketika zaman pemerintahan Shah. Makam dan masjid turut menjadi tumpuan pelancong.

Ibu kota Tehrah memiliki masjid-masjid yang cukup mengagumkan terutamanya dalam aspek seni bina. Antara masjid popular ialah Masjid Nasir ol Molk dan Masjid Imamzadeh.

Salah satu tempat tumpuan ada Grand Bazaar of Teheran. Ia dipisahkan dengan jarak lebih 10 kilometer dari hotel saya menginap. Bazar itu menjual pelbagai barangan yang tidak pernah terlintas dalam minda saya.

Mercu tanda utama di Teheran adalah Menara Milad yang mempunyai ketinggian 435 meter. Ia merupakan menara keenam tertinggi di dunia sehingga tahun 2012.

Pemodenan


GRAND Bazzar of Teheran menjual pelbagai barangan cenderamata.


Palladium Mall pula merupakan sebahagian daripada usaha pemodenan Teheran. Terdapat kedai-kedai berjenama, tempat makan, restoran berputar yang menawarkan pemandangan bandar yang menakjubkan.

Pengunjung juga boleh merasai pengalaman melihat matahari terbenam.

Teheran kaya dengan muzium. Antara yang terkenal adalah muzium permaidani, muzium seni kontemporari, muzium pawagam, muzium gelas dan seramik serta muzium permata.

Saya menjadi sangat kagum dengan masyarakat Iran dalam menjaga sejarahnya. Keterujaan saya bertambah apabila berpeluang bergaul dengan penduduk yang sangat ramah.

Sebelum saya melancong ke sini, saya telah diingatkan bahawa Iran tidak menyukai orang Islam Sunni.

Ia bukan sahaja tidak benar tetapi saya dapat melihat sendiri sebuah masyarakat yang bertenaga dan progresif.

Saya mempunyai beberapa contoh, misalnya seorang pemandu teksi yang enggan mengambil duit tambang apabila mengetahui saya adalah pelancong dari Pakistan.

Pernah satu ketika, saya menaiki kereta api yang salah dan seorang pemuda bernama Hamed telah membantu saya ke stesen yang betul.

Dia juga telah melukis peta yang menunjukkan jalan pulang ke hotel saya. Paling mengejutkan, Hamed menelefon saya untuk mengetahui saya sudah sampai ke hotel atau belum.

Penjual gerai juga memberi saya puff krim dan shisha percuma apabila tahu saya merupakan seorang pelancong.

Anda pasti terkejut bahawa cerita yang disampaikan oleh pihak media terhadap Iran berbeza sama sekali dengan pandangan saya.

Apabila berada di negara itu dan berinteraksi bersama masyarakatnya, baru anda mengetahui kehidupan sebenar mereka.

Jadi, jika merancang destinasi percutian pada masa akan datang, jangan lupa letakkan Iran dalam senarai anda. Saya pasti anda tidak akan kecewa.