Suntikan elemen hijau dalam taman

SUASANA ruang tamu yang dihias sederhana namun masih tampak menarik dengan rona hijau pucuk pisang.


KONSEP dekorasi berunsurkan alam semula jadi bukanlah sesuatu yang asing bagi setiap pemilik kediaman yang menginginkan konsep sedemikian.

Walaupun idea diolah itu adakalanya hadir tanpa sebarang perancangan, kesungguhan itu tidak menghalang pemilik kediaman menitip setiap sudut pada rumah dengan elemen yang diingini.

Mengakui mahukan kediaman bertemakan hitam dan putih, Norkamila Aripin, 24, terpaksa memendam dahulu impian untuk menghiasi kediaman dengan konsep yang diinginkan selepas memiliki sebuah kediaman sendiri suatu hari nanti.

Kunjungan kru Jurnal ke kediaman jenis pangsapuri untuk kakitangan kerajaan di Setiawangsa, Kuala Lumpur pada minggu lalu disambut oleh penghuninya sambil ditemani jiran berikutan si suami sedang bertugas di luar daerah selama empat bulan.

Mengakui berasa segan untuk membongkar dekorasi ringkas yang dipamerkan, Norkamila atau lebih mesra dipanggil Mila berasa teruja selepas kru Jurnal bertanyakan keinginannya untuk berkongsi sentuhan yang digarap pada kediaman dihuni sejak tiga tahun lalu itu.

Sejujurnya, Mila memberitahu, dia sebenarnya menginginkan kediaman yang diberi sentuhan moden dengan penataan rona hitam dan putih.

“Tetapi memandangkan kami sekarang menetap di rumah kerajaan, impian ini terpaksa dipendam sehingga kami memiliki sebuah kediaman sendiri nanti,” tutur ibu muda kepada dua orang cahaya mata itu.


NORKAMILA bersama dua puteri menyimpan impian untuk memiliki kediaman sendiri berkonsepkan moden dengan sentuhan hitam dan putih.


Perabot asas

Menurut Mila, sewaktu berpindah ke kediaman yang diduduki sekarang, ruang dinding pada rumah tersebut telah sedia dicat dengan rona hijau pucuk pisang.

Melihat pada warna sedia ada yang digunakan, Mila bersama suami tidak teragak-agak untuk mengetengahkan konsep kehijauan alam semula jadi pada kediaman berkenaan.

Sedar tentang keluasan kediaman yang terhad, Mila dilihat tidak terlalu menitik beratkan soal penggunaan perabot secara keterlaluan terutamanya pada bahagian ruang tamu.

Sentuhan ringkas dengan menerapkan penggunaan perabot asas sudah cukup memadai sementelah pemiliknya tidak perlu berbelanja besar kerana kebanyakan perabot yang digunakan dibawa dari kediaman lama.

“Kami sekeluarga kerap berpindah-randah kerana mengikut suami yang berkhidmat dalam sektor kerajaan,” ujar wanita berasal dari Kuala Terengganu itu.

Paduan warna yang digunakan seperti pada sofa juga tidak terlalu menutup asas pada konsep yang ditonjolkan.

Pemilihan warna rona coklat sedikit sebanyak menyuntik elemen alam yang memaparkan unsur tanah pada suasana dalam ruang rumah.

Paling ketara, Mila galak menggunakan unsur rumput palsu dengan membentang hamparan permaidani dengan rona hijau bagi membangkitkan suasana.

Seperti pada ruang televisyen misalnya, Mila turut menyelitkan unsur alam dengan meletakkan potongan rumput palsu sebagai alas pasu di atas kabinet berona putih, sekali gus menonjolkan impak pantulan yang begitu ketara.

Untuk membangkitkan suasana, penggunaan kertas dinding turut dipraktikkan pada ruang kediaman dengan memberi sedikit sentuhan kontra.


PENATAAN gaya pada ruang makan yang diberi sentuhan sederhana tetap menarik perhatian.


Minimalis

Pemilihan kertas dinding dengan motif ringkas dipilih bersesuaian dengan keadaan ruang tamu yang tidak memiliki ruang luas.

Beberapa bingkai gambar turut diletakkan sebagai syarat supaya muka dinding tidak kelihatan terlalu polos.

Walaupun memiliki keluasan ruang terhad, Mila tetap mewujudkan sebuah sudut khas dengan meletakkan dua buah kerusi dan meja kecil sebagai sudut untuk tetamu bersantai dan berbual-bual.

“Sebenarnya sudut ini jarang digunakan kecuali jika ada tetamu bertandang,” kata Mila.

Pemilihan rona pada fabrik langsir juga dilihat cukup ringkas dengan penataan warna pulih polos tanpa sebarang corak bagi memberi keseimbangan pada suasana dalam ruang kediaman.

Mengintai pada ruang makan, Mila tidak terlalu obses menghias ruang tersebut dengan sentuhan padat. Bagaimanapun, paduan warna tema yang digunakan sudah cukup memberikan keselesaan pada keluarga untuk menjamu selera.

Tidak lengkap rasanya jika sesebuah kediaman itu tidak serapkan sekali dengan hiasan berupa jambangan bunga. Pemilihan bunga hiasan berona putih menjadi pilihan buat Mila dalam membangkitkan seri pada kediaman sekali gus mewujudkan elemen alam biarpun pada kadar minimalis.