Keledek ungu rendah risiko kanser


KANDUNGAN beta karotena dalam keledek ungu menjadi sumber penyekat sel stem barah yang baik. – Gambar hiasan


AMALAN memakan keledek ungu dipercayai dapat menurunkan risiko menghidap barah kolon sehingga enam kali ganda.

Penyelidikan yang dijalankan Universiti Pennsylvania State, Amerika Syarikat itu mendapati, keledek ungu dapat menyekat penyebaran sel stem kanser dalam usus besar.

Kajian yang diterbitkan dalam Journal of Nutritional Biochemistry itu dijalankan ke atas babi yang mempunyai sistem penghadaman hampir sama seperti manusia

Salah seorang penyelidik, Prof. Jairam Vanamala berkata, babi yang diberi makan keledek ungu didapati mempunyai protein pemusnah dikenali sebagai interleukin-6 (IL-6), enam kali ganda lebih rendah daripada kumpulan yang diberi diet normal. Sebagai rekod, IL-6 boleh mencetuskan tumor dan penyakit radang usus yang lain.

“Kami dapati kentang putih mempunyai sebatian kimia yang berguna tetapi keledek ungu yang kaya beta karotena mempunyai konsentrasi sebatian antiradang dan antioksidan yang lebih tinggi.

“Menerusi penemuan ini, kami menjadikan keledek ungu sebagai model untuk mengkaji manfaat kentang lain kepada kesihatan pada masa depan,” katanya.