JDT struktur semula kelab


PENSTRUKTURAN kelab JDT yang akan dibuat pada kongres di Johor Bahru esok tidak melibatkan rombakan pemain skuad Harimau Selatan.


PASUKAN bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan mengadakan satu kongres bagi membuat penstrukturan dan rombakan secara keseluruhan organisasi kelab itu.

Presiden JDT, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim (gambar) berkata, kongres yang akan diadakan di Johor Bahru esok akan melibatkan penstrukturan semula keseluruhan organisasi pasukan di bawah kelab bola sepak JDT, komersial, penjenamaan serta Yayasan JDT.

Katanya, penstrukturan semula itu juga adalah untuk menyelaraskan agenda baharu kelab dengan segala kejayaan dan pencapaian yang dicapai oleh JDT di dalam dan di luar padang.

“Pemilik kelab JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ibrahim Sultan Ibrahim masih ingin melangkah lebih jauh dan disebabkan itu kami perlu melakukan penstrukturan dan modul yang sesuai dengan agenda-agenda baharu kami.

“Tumpuan akan diberikan kepada meningkatkan nilai komersial dan penjenamaan kelab serta penstrukturan semula Yayasan JDT,” katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers kelmarin.

Tunku Tun Aminah menambah, perbincangan pada kongres tersebut juga bukan sahaja untuk mempunyai satu organisasi yang kuat dan stabil tetapi kukuh dari segi kewangan.

“Selain itu, ia juga bagi membolehkan JDT lebih sesuai untuk bekerjasama dengan para penaja antarabangsa yang besar bagi menaja kelab pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards menegaskan, kongres tersebut tidak membabitkan rombakan pemain tetapi menjurus kepada membaiki carta organisasi kelab.

“Struktur yang akan kami ubah dalam kelab bola sepak JDT pada kongres itu adalah untuk meletakkan individu-individu dalam kelab di tempat yang tepat. Ini adalah untuk memperjelaskan lagi tugas masing-ma­sing bersesuaian dengan agenda JDT pada masa depan.

“Struktur ini tidak melibatkan para pemain pasukan, bahkan saya selaku Pengarah Teknikal juga tidak mengetahuinya kerana hanya TMJ yang mengetahui tentang pemain dan apa perancangan terbaharu JDT,” katanya.

Edward menambah, sejak empat tahun lalu, pemilihan pemain yang dibuat adalah melalui perbincangan Tunku Ismail, pengarah sukan dan ketua jurulatih.

“Apa yang lebih unik adalah ini merupakan satu-satunya dalam dunia apabila pemilik kelab yang merancang semua sekali.

“Tujuan kongres ini adalah kerana Tunku Ismail mahu membuat penstrukturan semula agar dapat mengurangkan beban dan meletakkan individu-individu yang lebih layak di tempat masing-masing agar tidak berlaku lagi seperti tahun-tahun sebelum ini yang mana semua pe­rancangan dibuat oleh baginda,” katanya.