Generasi baharu Oh My! English


MARK O’DEA, pelakon yang menggantikan tempat Zain Saidin dalam siri Oh My! English - Level Up.


Melewati lima musim bersiaran, drama berbentuk pendidikan Oh My! English (OME) versi terkini bakal memperkenalkan barisan pelakon baharu yang akan meneruskan kerenah dunia persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Dalam.

Seiring dengan peredaran masa, perubahan tersebut ternyata langkah yang wajar diambil kerana barisan pelakon lama sudah meningkat dewasa dan peminat mereka juga mungkin tidak menonton OME sekerap dahulu.

Bagi Penolong Naib Presiden Bahagian Pendidikan Astro, Sharifah Noraidah Syed Ismail, sudah tiba masanya OME diberikan nafas segar dengan harapan akan membiakkan kelompok peminat yang baharu.

Menurut Noraidah, kelainan tersebut adalah percubaan kedua yang dilakukan selepas kali pertama pada 2015, namun tidak begitu berjaya kerana pada waktu itu, masih ramai pelakon dan watak asal mendominasi OME.

“Bagi musim keenam untuk tahun 2017, kami mengambil keputusan untuk membuat pertukaran secara besar-besaran dan mengambil semua barisan pelajar baharu dalam OME.

“Kami merangka karakter yang dimahukan dan membuat uji bakat selama empat bulan sebelum menemui lapan orang remaja untuk membawakan watak penting dalam kelas 3 Merah,” katanya pada sidang akhbar memperkenalkan barisan pelakon OME - Level Up di Melur & Thyme di pusat beli-belah Pavillion baru-baru ini.

Barisan pelakon yang akan membintangi OME musim keenam terdiri daripada Fimie Don melakonkan watak Ronaldo, Haris Alif (Danial), Timothy Deeran (Sam), Yuna Rahim (Amelia), Nur Shahidah Abdullah (Mawar), Qistina Enara (Fiona), Chen Su Ee (See Mi Nau) dan Izzy Reef (Wan Yunus).

Watak guru-guru pula disandang oleh Adibah Noor (Pengetua Siti Hajar), Tauke Jambu (Yusof, Guru Disiplin), Sherry Al-Hadad (Cikgu Bedah), Carmen Soo (Miss Soo) dan Mark O’dea (Mr. James Blond).

Cabaran Mark O’dea

Perubahan watak guru subjek Bahasa Inggeris yang selama ini cukup sinonim ditangani Zain Saidin dan kini diganti oleh O’dea, seorang bintang YouTube dan pengulas sukan di saluran Astro Supersport pastinya menjadi kelainan yang menarik perhatian.

Berasal dari England dan sudah tiga tahun bermastautin di Malaysia, O’dea bersetuju menyahut cabaran membawa watak Mr. James Blond kerana tertarik dengan konsep belajar sambil berseronok seperti yang diterapkan OME.

Meskipun tidak fasih berbahasa Melayu dan hanya boleh memahami percakapan orang Malaysia pada kadar paling minimum, O’dea tidak menganggap itu suatu perkara sukar dan sedia untuk belajar.

“Watak Mr. James Blond tidak memerlukan saya bertutur bahasa Melayu, cuma mungkin masih perlu banyak belajar untuk bergaul dengan pelakon lain.

“Saya tidak mahu watak ini dibayangi karakter Mr. Middleton lakonan Zain dan mahu mencipta identiti sendiri. Mungkin ada peminat akan membuat perbandingan tetapi itu lumrah, saya okey sahaja,” katanya lagi.

Siri OME - Level Up sebanyak 26 episod mula bersiaran pada 1 Oktober, setiap Ahad pukul 6.30 petang menerusi saluran Astro TVIQ (610) dan Maya HD (135).