Kanak-kanak belajar sains secara interaktif

PELAJAR sekolah tidak ketinggalan untuk sama-sama mempelajari ilmu sains bersama rakan-rakan mereka.


Keletah Mohd. Daffa Ilham, 3, yang sedang tekun memasang sambungan-sambungan Lego berjaya mencuri tumpuan pengunjung.

Pandang Mohd. Daffa ditumpukan sepenuh kepada sambungan Lego itu. Sesekali dia menggaru kepalanya seperti ada sesuatu yang tidak kena.

“Anak saya memang gemar bermain dengan permainan Lego. Walaupun baru berusia tiga tahun, dalam fikirannya ada sahaja bentuk yang ingin dicipta.

“Semasa bermain, sesekali dia suka melihat rakan-rakan lain yang sedang mencipta mainan mereka. Sebab itu saya bawa dia ke sini kerana dia juga suka dengan persekitaran yang ramai orang,” kata Asmahan Abdullah, 33, ketika ditemui pada Festival Sains Petrosains 2017 di Galeri Sains Petroleum, Petrosains Menara Berkembar Petronas (KLCC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Asmahan berkata, pelbagai program yang disediakan pada festival itu sesuai untuk anaknya.

Jadi, dia tidak mahu ketinggalan untuk turut hadir pada festival yang berlangsung pada 15 hingga 17 September itu.

Seorang lagi pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Amzar, 38, memaklumkan, dia menghabiskan cuti pada hujung minggu itu untuk membawa kedua-dua anaknya yang masing-masing berusia 11 serta tujuh menyertai acara berkenaan bagi mendedahkan mereka dengan ilmu-ilmu sains.

Sambutan


seorang kanak-kanak tekun melihat sebuah robot yang dicipta untuk menjana kuasa elektrik.


“Walaupun mereka ini masih bersekolah dan mempelajari subjek Sains, ia belum tentu cukup kerana ilmu sains ini tiada batasnya.

“Oleh itu, dengan membawa mereka ke program seperti ini, dapatlah mereka meluaskan lagi pemikiran dan memperoleh pelbagai idea baharu yang boleh dipraktikkan di sekolah nanti,” kata kakitangan Petronas itu.

Galeri Sains Petroleum, Petrosains mengadakan festival itu buat kali kedua selepas mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung pada tahun lalu.

Berbeza dengan edisi pertama yang diadakan sempena musim cuti sekolah, pihak Petrosains memilih untuk mengadakan acara itu pada hari biasa selama tiga hari pada kali ini.

Walaupun diadakan dalam tempoh singkat, acara itu masih mampu menarik kehadiran ramai pengunjung.

Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains, Tengku Nasariah Tengku Syed Ibrahim berkata, festival itu tidak dapat dilakukan dalam tempoh yang lebih panjang kerana terdapat pelbagai acara lain yang dianjurkan KLCC.

“Kami menerima kehadiran ramai pengunjung meskipun hanya diadakan selama tiga hari.

“Bukan sahaja Galeri Sains Petroleum, Petrosains dipenuhi kanak-kanak dan rombongan pelajar sekolah tetapi tapak Esplanade di Taman Rekreasi KLCC turut dilimpahi pengunjung dari dalam dan luar negara.

“Apa yang penting, setiap program yang disediakan adalah percuma. Siapa yang tidak mahu menyertai karnival seperti ini tanpa perlu mengeluarkan bayaran,” ujarnya.

Festival Sains Petrosains pada tahun ini mengangkat tema Kehidupan Lestari (Sustainable Living) untuk memupuk amalan gaya hidup mesra alam selain memberi peluang kepada masyarakat mempelajari sains secara interaktif dan lebih seronok.

Malah, pihak Petrosains juga ingin meningkatkan kefahaman orang ramai supaya menjadikan bumi sebagai planet yang lestari.

Untuk meningkatkan kefahaman orang ramai berkaitan perkara itu, ia haruslah dipupuk sejak usia muda lagi.

Menerusi program-program yang dilaksanakan, Petrosains juga menjalankan kerjasama dengan beberapa rakan strategik daripada pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, badan korporat, syarikat swasta, sekolah dan usahawan industri.

Antara organisasi yang terlibat ialah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Universiti Teknologi Mara, Pusat Perubatan Prince Court, National Geographic, Tiny Home, Rapid KL dan Fly FM.

Tambah Tengku Nasariah, di Petrosains, mereka sentiasa komited untuk mempromosikan pembelajaran sains dengan lebih berkesan.

Oleh yang demikian, mereka menyediakan pelbagai aktiviti mengujakan untuk diterokai para pengunjung.

“Salah satu aktiviti yang diadakan adalah cara melupuskan sampah dengan baik. Sisa-sisa daripada makanan dan bahan buangan boleh diproses sebelum dijadikan baja kompos untuk digunakan semasa bercucuk tanam.

“Selain itu, terdapat juga aktiviti bagaimana menjalani kehidupan yang lebih mesra alam. Pengguna digalakkan menggunakan bahan-bahan yang boleh dikitar semula berbanding bahan yang tidak dapat dilupuskan seperti plastik,” terangnya.

Badan-badan yang terlibat dengan festival itu juga tidak ketinggalan untuk menunjukkan teknik dan kaedah gaya hidup mesra alam.

Misalnya, National Geographic mengambil pendekatan dengan menyediakan basikal yang boleh dikayuh untuk menyalakan lampu.

Dengan kayuhan itu, ia dapat menjimatkan penggunaan tenaga elektrik.

Khazanah marin


FESTIVAL Sains Petrosains 2017 yang diadakan di KLCC pada 15 hingga 17 September lalu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung.


Sementara itu, wakil pempamer daripada Jabatan Taman Laut Malaysia, Farah Nadiah Baharuddin berkata, ramai masyarakat yang masih tidak tahu bahawa Malaysia mempunyai Taman Laut bagi menjaga khazanah marin.

“Antara pengetahuan yang kami salurkan kepada pengunjung adalah fungsi Taman Laut yang ada di negara ini.

“Ia bertujuan untuk memberi perlindungan khas kepada flora dan fauna akuatik serta melindungi, memelihara serta mengurus tapak pembiakan semula jadi habitat hidupan akuatik.

“Selain itu, kami terangkan juga kepentingan terumbu karang kepada hidupan di laut.

“Walaupun ia mungkin kelihatan seperti batu atau tumbuh-tumbuhan, sebenarnya karang adalah binatang hidup,” jelasnya.

Sepanjang tiga hari Festival Sains Petrosains itu berlangsung, aktiviti yang diadakan tidak hanya tertumpu pada proses pembelajaran semata-mata.

Ini kerana pada hari terakhir berlangsung majlis peragaan fesyen yang menggunakan bahan-bahan kitar semula dan persembahan artis, Datuk Zainal Abidin serta Altimet.

Petrosains berharap untuk mengadakan program itu di luar Kuala Lumpur pada masa hadapan.